MARAN: Seorang kanak-kanak perempuan maut, manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer (KM) 149.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berdekatan Felda Sungai Nerek, di sini, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kenderaan Kia Grand Carnival yang dinaiki semua mangsa dalam perjalanan menghala ke Kuantan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagian jalan.

"Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 5.22 petang, dan seramai 17 anggota dari Balai Bomba Maran serta Balai Bomba Temerloh bergegas ke lokasi kejadian.

"Berikutan kemalangan itu, seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia di lokasi kejadian. Manakala tiga lagi mangsa iaitu seorang lelaki dewasa dan dua wanita dewasa yang tersepit mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulfadli memberitahu, pasukan bomba melakukan operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.

Ujarnya lagi, mangsa yang cedera dibawa ke hospital berdekatan dengan ambulan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan jentera EMRS, sementara mayat kanak-kanak terbabit diserahkan kepada pihak polis bagi tujuan bedah siasat.

Setakat ini, identiti kesemua mangsa masih belum dikenal pasti, namun dipercayai daripada satu keluarga.