Seorang lagi anggota polis terlibat samun ditahan

Shafiq Noordin
Januari 16, 2018 08:26 MYT
Suspek telah ditahan oleh anggota dari Bahagian D9 (Siasatan Khas) dan dihantar ke lokap. - Gambar hiasan
Polis telah menahan seorang lagi anggotanya yang dipercayai terlibat dalam kes samun berkumpulan di Kampung Rapat di sini, pada bulan lalu.
Suspek berusia 31 tahun itu ditahan ketika menyerahkan diri di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada jam 11 pagi tadi.
“Suspek telah ditahan oleh anggota dari (Bahagian) D9 (Siasatan Khas) dan dihantar ke lokap pusat. Ini adalah anggota yang masih bebas tempoh hari.
“(Sehingga kini) Tinggal seorang lagi lelaki awam yang masih belum ditangkap,” kata Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Mohd Ali Tamby dalam satu kenyataan.
Pada 28 Disember lalu, Astro AWANI melaporkan, empat lelaki termasuk seorang pegawai dan dua anggota polis ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan samun tanpa senjata membabitkan wang tunai RM12,300 di sebuah rumah di Kampung Rapat.
BACA: Pegawai, dua anggota polis disyaki terlibat samun ditukar jabatan
BACA: Tiga anggota polis ditahan terlibat kes samun
Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan ketika itu berkata, tiga anggota tersebut bakal ditukarkan ke jabatan lain di bahagian pengurusan yang tidak memerlukan mereka berinteraksi dengan orang awam.
“Kesemua pegawai dan anggota yang dipercayai terlibat itu tidak akan dibuang kerja melainkan mereka didapati bersalah oleh mahkamah,” katanya pada satu sidang media 12 Januari lalu.
Tambahnya, kertas siasatan berhubung kes tersebut akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
#Ipoh #jenayah #Kampung Rapat #polis #samun #serah diri #siasatan #tangkapan