Seorang lagi wakil rakyat yang mewakili Pakatan Rakyat di Sabah dijangka akan keluar parti minggu ini, lapor UMNO-online.

Portal berita itu memetik kenyataan Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar menjangkakan ramai lagi wakil rakyat pembangkang dijangka akan bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Jamawi berkata perkara tersebut berlaku akibat wakil rakyat dan ahli parti pakatan pembangkang sudah tidak yakin dengan perjuangan dan hala tuju gabungan tersebut.

“Saya difahamkan, dalam minggu ini pun ada seorang lagi wakil rakyat mereka akan keluar parti dan menjadi Wakil Rakyat Bebas, ini semua adalah kerana kehendak serta tuntutan rakyat dan pengundi di kawasan-kawasan yang di wakili wakil-wakil pakatan ini yang mahukan pembangunan kerana mereka tidak mahu ketinggalan dari arus pembangunan yang dibawa oleh kerajaan BN melalui wakil-wakil rakyat BN.

“Jadi, demi kepentingan dan mendahulukan rakyat, mereka keluar parti. Kita juga yakin, PKR bukanlah satu parti yang relevan dalam politik Sabah, cuma sedikit penolakan rakyat terhadap calon-calon BN yang telah lama seperti di Kadamaian dan Luyang, menyebabkan mereka menang dalam PRU yang lalu,” katanya.

Jamawi berkata, wakil rakyat berkenaan sedar tentang harapan tinggi rakyat di kawasan yang mereka wakili untuk melihat perubahan terutama pembangunan.

“Sebagai wakil rakyat baru dipilih oleh rakyat, saya yakin mereka sedar tentang harapan tinggi rakyat di kawasan yang mereka wakili untuk melihat perubahan dalam bidang pembangunan khususnya kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, klinik desa dan banyak lagi pembangunan luar bandar yang menjadi isu semasa yang sentiasa dilaung-laungkan masyarakat Kadamaian.

“Ini juga bukti jelas bahawa hanya Barisan Nasional yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat berbanding pakatan pembangkang yang hanya pandai beretorik dan berlakon semata-mata untuk mendapat undi daripada rakyat,” katanya lagi.

Pada Isnin, ADUN Kadamaian yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Jeremmy Malajad bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong BN.

Beliau yang disertai oleh kira-kira 50 bekas pemimpin PKR Kadamaian berkata, keputusan beliau keluar daripada PKR adalah bagi memenuhi harapan rakyat di kawasannya yang mahukan pembangunan.

Pada 27 September lalu, Bekas Ketua DAP Sabah yang juga ADUN Luyang, Hiew King Cheu mengisytiharkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.