SIK: Seorang pekerja kebun warga Bangladesh maut manakala tiga rakannya parah selepas pacuan empat roda dinaiki mereka dirempuh sebuah lori tanah di Simpang Tiga Gajah Putih dekat Jenerik, di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman, berkata dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, Toyota Hilux dipandu Babul Mohammad Azaharul Islam, 32, dipercayai keluar dari simpang sebelum dirempuh lori berkenaan.

Katanya, kenderaan mereka terseret sejauh kira-kira 20 meter sebelum berhenti di pembahagi jalan.

“Pemandu pacuan empat roda itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala tiga rakan yang berada di tempat duduk penumpang hadapan dan belakang cedera parah.

"Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa yang meninggal dunia adalah warga Bangladesh namun identiti tiga lagi rakannya belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri dibawa bersama,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Ahad.

Abdull Razak berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sik untuk bedah siasat, manakala tiga rakannya yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

“Pemandu lori dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.