JERANTUT: Seorang pemandu kereta maut dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer (KM) 18, Jalan Jerantut-Temerloh berdekatan Bukit Ketupat pada jam 7.45 petang, semalam.

Ketua Polis Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, mangsa Bahari A/l Sayang, 44 tahun, yang memandu kereta jenis Proton Wira beralamat di Kampung Galing Besar, Kuantan, maut di wad kecemasan Hospital Jerantut pada jam 3.20 pagi.

Kematian mangsa dilaporkan berpunca daripada kecederaan di bahagian dada dan bedah siasat akan dijalankan selepas ujian COVID-19 diperolehi.

Katanya, hasil siasatan awal kemalangan pemandu Proton Wira yang dalam arah perjalanan dari Temerloh menuju ke Jerantut dan pemandu Proton Persona bersama empat ahli keluarganya dalam perjalanan dari arah Jerantut menuju ke Temerloh.

“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai pemandu Proton Wira telah gagal mengawal kenderaan dipandunya dan memasuki ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Proton Persona yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan ini, kesemua mangsa terlibat telah dibawa ke Hospital Jerantut untuk rawatan lanjut. “ katanya.

Katanya, pemandu Proton Persona berusia 33 tahun yang beralamat di Jasin, Melaka, mengalami kecederaan di bahagian dada dan dirawat sebagai pesakit luar.

“Manakala, isteri kepada pemandu Proton Persona yang duduk di bahagian penumpang hadapan berusia 31 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Anak kepada pasangan suami isteri yang berada di dalam motokar Proton Persona yang duduk bahagian penumpang belakang berusia 9 tahun mengalami patah peha dan luka di kepala, seorang lagi anak pasangan itu berusia 5 tahun tidak mengalami kecederaan,” jelasnya.

Katanya, keadaan jalan lurus, dengan satu lorong dua hala dan mempunyai garisan putih berkembar di tengah jalan sebagai pembahagi lorong.

Cuaca pada waktu kejadian juga baik, serta permukaan jalan kering namun keadaan gelap tanpa lampu jalan.

“Kedua-dua kenderaan itu mengalami kerosakan remuk keseluruhan bahagian hadapan. Kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya lagi.