Seorang daripada tiga pelajar Malaysia yang disoal siasat Polis Greater Manchester berkaitan insiden pengeboman di Manchester Arena pada 22 Mei lepas, pulang ke tanah air hari ini untuk bercuti.

Muhammad Helmy, 22, pelajar tahun dua bidang falsafah dan politik University of Manchester bercuti sempena cuti musim panas universitinya pada masa ini.

Kepulangan pelajar berasal dari Negeri Sembilan melalui penerbangan MH001 dari London itu, disambut kedua ibu bapanya dan Pengerusi Biro Pelajar Luar Negara UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Timbalan Menteri Luar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Media, bagaimanapun diminta tidak menemubual mahupun merakamkan gambar pelajar berkenaan atas permintaan keluarga yang memohon privasi.

Pada 29 Mei lepas, Muhammad Helmy bersama dua lagi pelajar Malaysia ditahan untuk soal siasat oleh Polis Greater Manchester pada kira-kira 5.40 petang waktu tempatan, namun dibebaskan pada 9 malam waktu tempatan hari yang sama.

Bercakap kepada pemberita selepas menyambut ketibaan pelajar berkenaan, Reezal Merican berkata ketiga-tiga pelajar yang disoal Agensi Jenayah Nasional dibebaskan tanpa syarat.

"Tidak ada isu pelajar ini dihantar pulang atau diusir ke tanah air. Selepas ini, pelajar berkenaan akan pulang semula (ke United Kingdom) untuk melanjutkan pelajaran," katanya.

Reezal Merican berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan UK kerana menyoal siasat ketiga-tiga pelajar Malaysia itu dengan baik tanpa sebarang kekasaran.

Menurutnya, ketiga-tiga pelajar Malaysia itu ditahan bersama 16 lagi pelajar dari negara lain untuk soal siasat.

"Biarlah pelajar ini menghabiskan masa berkualiti bersama keluarganya dan melupakan pengalaman dan trauma sewaktu ditahan di UK," katanya.

Reezal Merican berharap tiada pandangan negatif dilemparkan terhadap ketiga-tiga pelajar tersebut kerana mereka tidak terlibat dalam insiden pengeboman tersebut.

Difahamkan dua lagi penuntut Malaysia yang turut disoal siasat bersama Muhammad Helmy, dijangka pulang ke tanah air dalam waktu terdekat.

Insiden pengeboman yang mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang berlaku pada konsert penyanyi Amerika Syarikat, Arianna Grande.

-- BERNAMA