Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang meminta supaya perbincangan mengenai hudud diserahkan kepada ahli-ahli akademik.

Katanya jika topik itu diserahkan kepada ahli-ahli politik, ia akan dipolitikkan.

“Itu yang kita masyarakat akademik nak bincangkan. Kalau kita serah pada orang politik, maka ia akan jadi politik,” kata Musa pada forum ‘Hudud: Antara ideal dan realiti’ anjuran International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) pada Khamis.

Dalam forum tersebut, beliau menggesa supaya pelaksanaan hudud tidak dilakukan dengan tergesa-gesa, sebaliknya perlu diteliti dan melalui proses.

Terdapat juga cadangan dari panelis forum untuk menerapkan undang-undang tersebut dalam undang-undang sivil kerana ‘roh-rohnya’ telah pun terkandung dalam kanun keseksaan.

Bagaimanapun, menurut Musa, mereka masih memikirkan sistem yang sesuai untuk menggabungkan kedua-dua undang-undang tersebut.

“Sama ada kita hendak masukkan roh itu dalam kanun keseksaan atau kita hendak tarik keluar apa yang ada dalam kanun keseksaan dan buat undang-jenayah jenayah syariah. Atau kita hendak harmonikan syariah dan sivil,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IAIS, Prof Madya Dr Mohamed Azam Adil berkata, beberapa perkara dari undang-undang jenayah Islam seperti pembunuhan, rogol, seks dengan haiwan, liwat telah pun ada di dalam kanun keseksaan.

Katanya jika hukuman itu ditingkat mengikut ketetapan undang-undang lslam tanpa menyebut ia adalah undang-undang Islam, pelaksanaan itu mungkin berjaya.

Mengulas tentang hukum tersebut yang mendapat tentangan beberapa pihak, katanya sewaktu sistem perbankan Islam diperkenalkan pada era 70an, ia juga mendapat tentangan termasuk dari orang Islam sendiri.

Selain itu, beliau berkata, gambaran negatif yang diberi oleh masyarakat sendiri turut menjadi punca mengapa orang bukan Islam tidak dapat menerima hudud.