PUTRAJAYA: Seramai 1,197 calon simpanan fasa kedua pegawai perubatan dan pegawai farmasi diserap ke jawatan tetap di Kementerian Kesihatan (KKM) selepas Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) meluluskan pelantikan itu pada September tahun lalu dan Januari lepas.

KKM, dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, pelantikan itu melibatkan 857 calon pegawai perubatan dan 340 pegawai farmasi.

"Pelantikan itu bagi mengisi baki kekosongan jawatan selepas selesai urusan 1,508 calon simpanan pegawai perubatan dan pegawai farmasi fasa pertama yang melapor diri untuk bertugas pada 18 Dis lepas,"katanya.

KKM memaklumkan urusan tawaran pelantikan tetap dan penerimaan tawaran oleh calon simpanan sedang dilaksanakan menerusi Sistem Tawaran Pelantikan SPA (MySTP SPA) dalam tempoh 21 hari bermula 29 Dis lepas bagi pegawai perubatan dan 3 Jan lepas bagi pegawai farmasi.

"Sepertimana jaminan ketelusan dalam urusan penempatan lantikan tetap sebelum ini, penempatan kali ini dilaksanakan menerusi sistem e-placement iaitu sistem e-housemen untuk calon pegawai perubatan dan sistem e-pharmacist untuk calon pegawai farmasi.

"Sehubungan itu, setiap calon telah dimaklumkan untuk membuat pemilihan penempatan bagi tujuan pengesahan melapor diri bertugas dalam tempoh sistem dibuka dari 15 hingga 17 Jan 2024," menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, tawaran pelantikan tetap terbatal sekiranya calon tidak membuat pemilihan penempatan dalam tempoh yang ditetapkan, selain penyediaan saluran bagi calon mengemukakan rayuan pertukaran penempatan menerusi 'google form' bermula 15 hingga 19 Jan lepas.

Menurutnya, rayuan dikemukakan menerusi google form dalam tempoh ditetapkan sahaja akan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Rayuan Penempatan manakala keputusan akan dimaklumkan kepada calon menerusi portal Semakan Kerjaya KKM pada 31 Jan ini.

"Penempatan calon ke fasiliti akan dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri mulai 12 Feb ini manakala tarikh pelantikan tetap calon adalah berkuat kuasa pada tarikh lapor diri bertugas iaitu 4 Mac ini," menurut KKM.

Katanya, calon yang tidak dapat melaporkan diri bertugas pada tarikh berkenaan boleh memohon penangguhan sementara melapor diri bertugas kepada ketua jabatan baharu.

KKM memaklumkan sementara permohonan penangguhan sementara diluluskan, calon masih lagi berstatus kontrak dan perlu hadir bertugas kecuali cuti rehat.

Menurutnya gaji permulaan lantikan tetap adalah berdasarkan gaji akhir yang calon layak terima mengikut kontrak terakhir. - BERNAMA