JOHOR BAHRU: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan ancaman di negara ini susulan serangan di Balai Polis Ulu Tiram masih terkawal.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai pangkalan data mencukupi dalam membantu menguruskan kes seperti insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor.

Saifuddin berkata, PDRM mempunyai pengalaman selama 217 tahun dan beliau menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan pasukan itu untuk mengurus insiden tersebut, serta terus membuat pemantauan terhadap sebarang kemungkinan kewujudan kumpulan pengganas.

“Saya mohon juga untuk masyarakat awam, hentikan spekulasi, beri ruang kepada polis untuk selesaikan siasatan dengan mengulangi jaminan ketenteraman awam, keselamatan awam keutamaan kami dan polis akan lakukan sedaya mungkin untuk urus dan selesaikan insiden ini, untuk pastikan bahawa, ketenteraman seluruhnya terjamin.

“Saya nak beri jaminan pasukan polis dengan pengalaman kita 217 tahun penubuhan, database kita itu memadai untuk kita uruskan insiden begini. Sebab itu kalau kita ada latar belakang (individu) yang dulu pernah terlibat dengan apa kegiatan, SOSMA dan dilepaskan, pendekatan polis adalah untuk terus engage mereka.

“Polis akan terus memastikan proses rehabilitasi mereka berjalan, dan mereka itu tidak menjadi ancaman kepada masyarakat,” katanya ketika menjawab soalan pemberita.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi semalam, dua anggota polis iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut selepas diserang seorang lelaki yang bersenjatakan parang, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, cedera ditembak.

Suspek lelaki berumur 21 tahun yang ditembak mati itu dipercayai ahli JI dan siasatan di rumah suspek di Ulu Tiram membawa kepada penahanan lima ahli keluarganya berumur 19 hingga 62 tahun.