KUALA LUMPUR: Serangan dron dan peluru berpandu oleh kumpulan Houthi di Arab Saudi ketika ini memberi cabaran kepada kemasukan jemaah ke Tanah Suci, terutamanya sewaktu musim puncak menjelang Oktober.
Ketua Jabatan Komersial Ikhlas Travel and Umrah Sdn Bhd, Mohammed Wafiyuddin Mustakim Safawi berkata, siri serangan di Lapangan Terbang Riyadh bermula 10 Oktober lalu memberi kesan kepada operasi syarikat pengendali umrah.
Menurut beliau, Oktober merupakan tempoh sibuk bagi ejen umrah apabila jemaah mengambil peluang menunaikan ibadah berkenaan sebelum bermula Ramadan awal tahun hadapan.
“Bulan 10 (Oktober) dah bermula, iaitu kita panggil peak season untuk perjalanan umrah. Sekarang kita perlu bersiap siaga untuk memastikan operasi kami berada dalam keadaan yang terbaik.
“Berlakunya perkara seperti letupan di Riyadh ini secara tidak langsung mengganggu sedikit perjalanan operasi kami,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Wafiyuddin berkata operasi syarikat pengusaha umrah, Ikhlas.com setakat ini masih berjalan seperti biasa, termasuk keberangkatan 80 jemaah pada Selasa.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya bersedia mematuhi sebarang arahan kerajaan berhubung penangguhan penerbangan sekiranya situasi semasa memerlukan langkah itu diambil.
Menurutnya, keselamatan jemaah sentiasa menjadi keutamaan syarikat berbanding aspek komersial, khususnya dalam tempoh permintaan tinggi ketika ini.
“Pihak kami sentiasa memberi fokus dan komitmen bahawa jika ada sebarang keputusan daripada pihak kerajaan selepas ini, pihak kami akan akur jika berlakunya penangguhan (penerbangan).
“Jika berlaku penangguhan penerbangan daripada pihak AirAsia X (rakan operasi), pihak kami juga akan memaklumkan perkara ini secepat mungkin kepada para jemaah kami,” katanya.
Dalam pada itu, pasukan operasi Ikhlas.com meningkatkan pemantauan terhadap perkembangan semasa di Arab Saudi bagi memastikan kelancaran perjalanan jemaah serta penyelarasan dengan pihak berkaitan.
Langkah itu turut merangkumi kerjasama dengan pihak hotel di Makkah dan Madinah serta syarikat penerbangan bagi menghadapi kemungkinan perubahan jadual perjalanan.
Setakat ini, hampir 1,000 jemaah di bawah kendalian agensi itu dilaporkan selamat di Makkah dan Madinah, tanpa sebarang gangguan terhadap aktiviti ibadah dan ziarah mereka.
Terdahulu, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) menyarankan rakyat Malaysia menangguhkan sementara perancangan perjalanan ke Arab Saudi susulan perkembangan geopolitik dan keselamatan di rantau berkenaan.