Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Johor menubuhkan majlis khas untuk meneliti permohonan pembangunan pusat data, menekankan penggunaan teknologi hijau dan air minimum.
- Selangor melaksanakan dasar 30 peratus rantaian bekalan tempatan dan prinsip pencemar membayar bagi memastikan manfaat kepada syarikat serta tenaga kerja tempatan.
- Khairy Jamaluddin menggesa pembangunan aplikasi tempatan bermakna agar keupayaan pengkomputeran negara tidak dieksport atau digunakan untuk trend digital sementara.
KUALA LUMPUR: Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dan kemasukan pelaburan pusat data ke Malaysia perlu disertai langkah perlindungan alam sekitar yang ketat serta dasar yang mampu memacu inovasi tempatan dan memberikan manfaat nyata kepada negara.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata Kerajaan Negeri Johor telah menubuhkan majlis khas bagi meneliti setiap permohonan cadangan pembangunan pusat data yang dikemukakan.
“Johor amat tegas. Kami hanya menerima pusat data Tier 3 dan Tier 4 yang memerlukan penggunaan air pada tahap minimum serta menggunakan teknologi hijau seperti panel solar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam forum bertajuk “Towards a Futuristic Nation: Leadership, Innovation and Transformation” bersempena dengan Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFuture) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Ahli panel lain terdiri daripada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, selain program itu dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Kesemua ahli panel menjawab persoalan dibangkitkan mahasiswa universiti berhubung kesan besar pusat data terhadap alam sekitar pada sesi soal jawab (Q&A) forum itu.
Senada dengan pandangan berkenaan, Amirudin mengetengahkan “Prinsip Pencemar Membayar” yang diguna pakai kerajaan negeri serta mandatori 30 peratus penggunaan rantaian bekalan tempatan bagi memastikan syarikat dan tenaga kerja tempatan mendapat manfaat secara langsung daripada ekosistem pusat data.
“Dasar 30 peratus ini adalah inisiatif kami untuk memastikan setiap pelaburan dibawa masuk ke Selangor turut memberikan manfaat kepada syarikat-syarikat Malaysia. Dasar ini bukan sekadar membuka peluang kepada syarikat tempatan, tetapi juga mendorong mereka untuk memenuhi penanda aras dan keperluan antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Khairy memberi amaran agar keupayaan pengkomputeran negara yang semakin berkembang tidak dieksport atau dibazirkan untuk trend digital yang bersifat sementara, sebaliknya menggesa golongan saintis muda dan pemimpin teknologi membangunkan aplikasi tempatan yang bermakna berasaskan infrastruktur tersebut.
“Kuasa pengkomputeran amat penting, namun saya bimbang keupayaan ini digunakan di luar Malaysia sedangkan kita hanya menyediakan infrastruktur fizikal atau dimanfaatkan untuk perkara remeh. Kita tidak boleh menghalang penggunaan media sosial tetapi kita perlu membangunkan ekosistem yang mampu menghasilkan aplikasi yang memberi manfaat kepada manusia secara produktif,” katanya.
Persidangan tiga hari berkenaan yang berlangsung dari Ahad hingga hari ini menghimpunkan 1,231 mahasiswa terdiri daripada 813 pelajar Malaysia dan 418 antarabangsa dari 60 negara.
Program itu dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), dengan kerjasama strategik Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
-- BERNAMA