Serangan ke atas anak Rafizi: Hanya polis boleh tentukan NFA atau tidak - Saifuddin

Saifuddin tidak akan memberikan sebarang pengarahan yang bersifat konklusif terhadap status kes berkenaan bagi mengelakkan berlakunya gangguan ke atas siasatan. - Gambar fail/Bernama
KULIM: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan hanya pihak polis yang berperanan sebagai pasukan profesional bagi menjalankan siasatan boleh menentukan klasifikasi ke atas mana-mana kes, sama ada berstatus Tiada Tindakan Lanjut (NFA) ataupun tidak.
Ia termasuklah kes membabitkan serangan ke atas anak Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Menurutnya, kes terbabit juga masih berada dalam siasatan dan sebarang perkembangan berkaitan bergantung kepada petunjuk-petunjuk baharu yang ditemui.
Tambah Saifuddin, beliau juga tidak akan memberikan sebarang pengarahan yang bersifat konklusif terhadap status kes berkenaan bagi mengelakkan berlakunya gangguan ke atas siasatan.
"Jadi (sehingga hari ini), saya terus melahirkan rasa simpati (terhadap) insiden yang membabitkan anak (kepada) Saudara Rafizi, seperti sedia maklum, saya (telah) hubungi beliau bertanya khabar, bukan sahaja ketika insiden itu bahkan selepas daripada itu pun (saya hubungi beliau) dan (untuk kes ini) saya serahkan kepada sikap profesional pasukan polis.
"Jadi sama ada ianya akan dikategorikan (sebagai NFA ataupun) tidak, itu bergantung kepada progres atau bergantung kepada petunjuk baharu jadi kita biarkan dulu (untuk segerakan klasifikasi kes)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Fasa 2 di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech Park, pada Sabtu.
Pada Jumaat, Rafizi menzahirkan hasrat untuk mengirim surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung kes melibatkan serangan ke atas anaknya.
Bekas Menteri Ekonomi itu turut bercadang untuk mengusulkan status Tiada Tindakan Lanjut (NFA) kerana tiada sebarang perkembangan dimaklumkan selepas enam bulan serangan tersebut berlaku.
Menurut Rafizi, beliau hanya mengetahui perkembangan siasatan daripada laporan media sahaja iaitu pada November lalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


