PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang peniaga kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya yang berusia 12 tahun, dua tahun lepas.

Lelaki berusia 40 tahun itu juga dikenakan empat sebatan rotan.

Ini susulan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk S.M. Komathy Suppiah yang membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan semula keputusan Mahkamah Sesyen.

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengurangkan hukuman lelaki itu kepada penjara tujuh tahun.

Dalam mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi, Hakim Vazeer berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila mengurangkan hukuman penjara daripada 10 tahun kepada tujuh tahun.

Beliau berkata hukuman penjara tujuh tahun itu adalah rendah dan Mahkamah Tinggi sepatutnya mempertimbangkan hubungan kekeluargaan antara pesalah dan mangsa.

Hakim Vazeer berkata mengambil kira trend hukuman, hukuman penjara 10 tahun adalah wajar bagi kesalahan itu.

Pada 15 Julai 2021, lelaki itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar Tahun Enam itu di sebuah rumah di Banting, Selangor pada 17 April serta 9 Mei tahun yang sama dan Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dengan dua sebatan bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan secara serentak, bermakna lelaki itu perlu menjalani hukuman penjara 10 tahun dan dikenakan empat sebatan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama. Seksyen 14(a) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pada 28 Jun tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan lelaki itu dan mengurangkan hukuman penjara kepada tujuh tahun. Bagaimanapun mahkamah mengekalkan hukuman sebatan, mendorong pihak pendakwaan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Timbalan Pendakwa Raya P. Sarulatha berkata Mahkamah Tinggi tidak mengambil kira Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Seksyen itu menyatakan bahawa seseorang yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kanak-kanak itu, sebagai tambahan kepada hukuman bagi kesalahan itu, dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan hendaklah dikenakan sebat tidak kurang daripada dua sebatan.

Peguam Muhamad Izwan Ishak daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili lelaki itu memohon mahkamah mengekalkan hukuman penjara tujuh tahun tersebut.

Katanya ia berdasarkan satu kes oleh Mahkamah Tinggi Ipoh yang menjatuhkan hukuman lapan tahun terhadap seorang tertuduh yang menghadapi pertuduhan sama seperti anak guamnya.

-- BERNAMA