NATIONAL
Serangan solat Jumaat: 'Wajah Haziq tersenyum'

Menurut Zarina, Muhammad Haziq menemui ajal dalam keadaan baik iaitu ketika arwah dalam keadaan berwuduk dan mahu menunaikan solat Jumaat di dalam masjid. - Foto Astro AWANI
Wajah jenazah korban serangan pengganas di masjid Christchurch, New Zealand Jumaat lalu, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, dalam keadaan tersenyum dan seumpama sedang tidur.
Ibu saudara Muhammad Haziq, Zarina Shuib, 53, berkata, dia dimaklumkan juga wajah anak saudaranya itu seperti bercahaya ketika jenazah anak kedua daripada empat adik beradik itu diuruskan.
Allahyarham Muhammad Haziq menurutnya mengalami kecederaan akibat ditembak sebanyak dua kali pada anggota badan.
Zarina dan keluarga bagaimanapun reda menerima ketentuan tersebut dan meminta seluruh rakyat Malaysia sama-sama mendoakan agar anak saudaranya itu ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Rasa sedih, terkilan sebab dia anak saudara. Reda dengan pemergian dia (Haziq). Mungkin sudah sampai ajal tuhan. Sudah ketentuan meninggal masa tu. Mariani (adik) ada sebut jenazah (Haziq) senyum dan tenang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Hutan Kampung, di sini, pada petang Khamis.
Haris yang turut berada di masjid tersebut ketika serangan berlaku masih trauma dan belum pulih sepenuhnya.
Zarina sebelum itu dikunjungi kira-kira 50 ahli jawatan kuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung bagi Dewan Undangan Negeri Bukit Pinang yang membacakan doa tahlil buat Allahyarham Haziq.
Jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan di Christchurch hari ini dengan diiringi bapanya, Mohd Tarmizi Mohd Shuib, 42, dan abang Mohd Tarmizi, Zakaria Shuib, 55, manakala ibu dan adik beradik Allahyarham tidak dibenarkan ke kawasan perkuburan.
Empat rakyat Malaysia disahkan terlibat dalam serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand, pada Jumaat lepas, tiga daripadanya cedera Mohd Tarmizi Shuib, Rahimi Ahmad dan Nazril Hisham Omar, sementara Muhammad Haziq dilaporkan hilang dalam kejadian tembakan itu.
Dia bagaimanapun hari ini disahkan terkorban.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami