SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) berhasrat menjadikan Seremban sebagai Bandar Pintar dan Bandar Rendah Karbon menjelang 2027, sekali gus menjamin kemampanan kualiti hidup masyarakat.

Datuk Bandarnya Datuk Masri Razali berkata ia bakal direalisasikan melalui lima fokus iaitu pengukuhan infrastruktur pendigitalan, permudah pergerakan dan mobiliti, peningkatan daya tahan bandar, persekitaran mampan dan pemerkasaan komuniti.

"Kita mahu wujudkan bandar selamat dan utamakan isu keselamatan termasuk penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) serta penglibatan komuniti, dan ia bukan sekadar perubahan fizikal seperti bangunan semata-mata. Kita lebih banyak gunakan pendekatan teknologi maklumat.

"Orang ramai mungkin tak perlu ke MBS lagi, hanya guna (perkhidmatan) dalam talian sahaja. Pelabur yang nak melabur ke negeri ini, hanya guna data (ntuk dapat maklumat) berapa banyak penduduk, kawasan nak diteroka dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon Seremban 2027 di sini pada Isnin.

Beliau berkata RM7.8 juta diperuntukkan tahun ini bagi tujuan berkenaan, merangkumi projek menaik taraf lampu High Pressure Sodium Vapour (HPSV) sedia ada kepada lampu LED, pemasangan WiFi, smart portal, naik taraf sistem Geori dan sistem perakunan bersepadu.

Dalam pada itu, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berharap pihak berkuasa tempatan lain turut sama mengikuti usaha MBS dengan mewujudkan bandar pintar dan rendah karbon selaras dengan Agenda Pembangunan Negara yang mendukung Agenda Pembangunan Mampan.

-- BERNAMA