PENAMPANG: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) telah membekalkan 11 unit jentera elektrik mudah alih yang berkapasiti 4.5 megawatt (MW) bagi menampung keperluan pengguna di Sabah yang agak tinggi ketika ini, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya.

Beliau berkata usaha itu merupakan langkah jangka masa pendek SESB bagi mengatasi gangguan bekalan elektrik yang berlaku di negeri itu.

"Berdasarkan taklimat dengan SESB sebentar tadi, difahamkan catuan bekalan elektrik akan dilakukan sehingga Julai ini, dan saya berpesan kepada pengguna agar dapat bersabar," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat oleh SESB di Pusat Agihan Bekalan Elektrik Sabah (LDC) sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata catuan itu bertujuan memastikan bekalan kuasa elektrik berada dalam keadaan terkawal bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku dalam sistem teknikal grid sistem SESB.

Katanya 17 lagi jentera mudah alih yang mampu membekalkan elektrik berkapasiti 8.5mv akan ditambah untuk diagihkan kepada pengguna bulan depan.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif SESB Mohd Yaakob Jaafar berkata permintaan penggunaan tenaga elektrik ketika ini mencapai tahap maksimum sebanyak 1,080MW berbanding hanya 1,032MW pada Ogos tahun lepas, yang berpunca daripada keadaan cuaca panas, selain beberapa stesen janakuasa yang tidak dapat beroperasi kerana memerlukan masa untuk dibaik pulih.

"Sebelum ini kalau pada waktu malam, penggunaan elektrik antara 800 hingga 900 mv tetapi selepas Hari Raya ia naik kepada 1,040. Perbezaan (penggunaan elektrik) waktu tengah hari antara pukul 2 petang dan malam hampir sama," katanya.

Mohd Yaakob berkata gangguan bekalan elektrik pada hari Selasa lepas di beberapa tempat sekitar negeri ini bukan disebabkan catuan ataupun sebarang sabotaj, tetapi berpunca daripada berlakunya letupan pada suis talian bervoltan tinggi SESB di Karambunai.

Gangguan elektrik pada hari Rabu pula berpunca daripada kerosakan kabel bawah tanah, dan SESB sedang mengenal pasti kawasan kabel berkenaan; iaitu antara Jalan Meruntum sehingga ke Jambatan Sipanggil di Putatan.

Berikutan gangguan bekalan elektrik itu, ribuan pengguna sekitar Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang terpaksa bergelap termasuk beberapa fasiliti awam seperti Hospital Queen Elizabeth dan Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu sejak pukul 6 petang, dan pulih sepenuhnya pada pukul 10.06 malam.

Mohd Yaakob berkata jadual catuan atau gangguan bekalan elektrik akan dikongsikan melalui laman sosial Facebook SESB, penghantaran mesej ke telefon bimbit pengguna dan melalui aplikasi Whatsapp pejabat daerah masing-masing.

"Sehingga Jun tahun depan, SESB mampu membekalkan 166MW dengan penambahan tenaga elektrik secara berperingkat," katanya.

-- BERNAMA