PUTRAJAYA: Sesi libat urus pertama berhubung penambahbaikan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012, telah diadakan hari ini bersama badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan badan hak asasi manusia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata antara pihak berkepentingan terlibat dalam sesi libat urus itu ialah Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Institute of Strategic and International Studies (ISIS) Malaysia dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

"Pelbagai pandangan diutarakan dan dibincangkan untuk dikaji secara lebih lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 22 Februari, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan tidak berhasrat memansuhkan atau mengkaji semula SOSMA, iaitu penahanan terhadap individu tanpa bicara dan tanpa ikat jamin yang didakwa melanggar hak asasi manusia.

Saifuddin Nasution berkata undang-undang keselamatan yang berada di bawah tanggungjawab kementerian termasuk SOSMA masih relevan dan penting, bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Selain itu, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih memerlukan undang-undang berkenaan, agar tindakan segera boleh diambil untuk mengelak sebarang kegentaran awam dan ancaman kepada kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, Ramkarpal berkata sesi libat seterusnya bakal diadakan dalam masa terdekat akan melibatkan beberapa pihak antaranya Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Ahli Parlimen, Sabah Law Society, Advocates Association of Sarawak, tahanan dan bekas tahanan di bawah SOSMA 2012 serta keluarga mereka.

-- BERNAMA