KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan secara bersemuka bermula di Terengganu, Kelantan dan Langkawi, Kedah hari ini, selepas kira-kira enam bulan sekolah di seluruh negara ditutup berikutan penularan COVID-19.

Di Terengganu yang berada di Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Langkawi di bawah gelembung pelancongan dengan mengikut ketetapan Fasa 4 PPN, pembukaan sekolah di kedua-dua lokasi itu melibatkan masing-masing 35,438 dan 2,159 pelajar dan murid.

Ini termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), murid berkeperluan khas (MBK) atau Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan murid prasekolah.

Sementara di Kelantan yang berada di Fasa 2 PPN, hanya calon STPM semester dua, murid berkeperluan khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan murid PPKI yang akan hadir ke sekolah.

Esok pula, sesi persekolahan secara bersemuka akan bermula di Pahang, Melaka, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Perlis, Sarawak dan Labuan dengan kehadiran pelajar mengikut Fasa PPN negeri masing-masing.

Pengoperasian semula sekolah di Langkawi melibatkan 25 sekolah rendah dengan 853 murid termasuk enam sekolah bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta 19 prasekolah di sekolah berkenaan.

Baki 13 sekolah menengah dengan 1,306 pelajar di pulau itu yang dibuka hari ini, juga termasuk lima sekolah bagi PPKI (140 pelajar), dua sekolah untuk Tingkatan Enam semester dua (138 pelajar) dan enam sekolah dengan sistem penggiliran untuk Tingkatan Lima melibatkan 1,028 pelajar.



Pelajar menikmati makanan pada waktu rehat ketika tinjauan sesi persekolahan secara bersemuka di Sekolah Menengah Sains Dungun hari ini

Pembukaan semula sekolah di Terengganu pula melibatkan 17,193 calon SPM, 4,873 calon STPM dengan 2,166 daripadanya pelajar Semester Dua dan 2,707 lagi pelajar Semester Satu.

Selain itu, seramai 2,566 murid berkeperluan khas (MBK) atau PPKI dan 10,806 murid prasekolah turut terlibat dengan pengoperasian semula sekolah di negeri tersebut.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin sempat melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, pagi tadi bagi meninjau perjalanan hari pertama persekolahan diiringi Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Salim Ab Ghani.

Tinjauan Bernama di sekolah yang mula beroperasi di beberapa negeri hari ini mendapati aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh warga sekolah, pelajar dan ibu bapa di tahap memuaskan.

Antara SOP digariskan bagi pengoperasian semula sekolah termasuk merekodkan bacaan suhu badan dan kehadiran, penggunaan cecair pembasmi kuman, label anak panah bagi menandakan pergerakan keluar masuk dalam kawasan sekolah serta susun atur kerusi meja untuk memastikan penjarakan fizikal.

Malah, pelajar yang tinggal di asrama penuh dan harian juga perlu menjalani ujian saringan COVID-19 bagi mengelak penularan wabak itu di sekolah.

Tinjauan Bernama di Kolej Vokasional Butterworth, Pulau Pinang mendapati pelajar kolej itu yang pulang ke asrama perlu menjalani ujian saringan menggunakan kit ujian kendiri COVID-19 ketika dihantar ibu bapa dari luar kawasan kolej, dan sekiranya dikesan positif pelajar diarahkan pulang untuk menjalani kuarantin.

Sebahagian pelajar Tingkatan Enam SMK Raja Sakti, Kota Bharu, ketika hadir pada sesi persekolahan secara bersemuka hari ini. --fotoBERNAMA

Rata-rata pelajar dan ibu bapa yang ditemui menzahirkan kegembiraan dapat kembali bersekolah secara bersemuka bermula esok dan berpuas hati dengan pelaksanaan SOP bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Seorang pelajar, Mohd Aliff Mohd Anas, 17, berkata beliau gembira dapat kembali ke sekolah kerana sudah lama hanya mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Kami kena ikut SOP ditetapkan, sebelum ini (sesi pembelajaran bersemuka) kami telah laluinya jadi ini bukan satu masalah sebaliknya sangat penting untuk membendung penularan COVID-19. Alhamdulillah, saya juga telah terima dos pertama vaksin," katanya ketika ditemui hari ini.

Ibunya Siti Anisah Abdul Aziz, 47, berkata beliau menyambut baik sesi persekolahan bersemuka yang akan bermula esok memandangkan peperiksaan SPM bakal menjelang tidak lama lagi.

"Memang ada perasaan risau tapi bila tengok persiapan dan SOP ditetapkan nampaknya ini persediaan yang baik oleh Kementerian Pendidikan. Jadi ini masanya mereka kembali semula ke sekolah dan dengan masing-masing telah terima suntikan vaksin, rasa lebih selamat," katanya.

Kebanyakan pelajar yang ditemui ketika tinjauan Bernama di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti di Kota Bharu, Kelantan memaklumkan mereka lebih yakin untuk kembali ke sekolah hari ini memandangkan kebanyakan mereka telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Sementara itu, seorang ibu Anita Daud, 47, berkata beliau yakin dengan kemampuan guru untuk memantau pelajar mengikut SOP yang ditetapkan sekali gus bagi mengelakkan berlaku penularan wabak COVID-19 di sekolah.

-- BERNAMA