KUALA LUMPUR: Negara berhadapan dengan suasana ketidaktentuan dan ketidakstabilan politik sewaktu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih jawatan nombor satu negara.

Ketika itu, Perdana Menteri mengakui terdapat pihak yang meramalkan bila-bila sahaja Kerajaan Keluarga Malaysia boleh runtuh berdasarkan sejarah lompat parti ketika itu.

Namun perkara itu tidak terjadi dan beliau bersyukur usia kerajaan Keluarga Malaysia telah menjangkau satu tahun.

Jelasnya, waktu unik memerlukan pendekatan unik dan Malaysia bertuah kerana mempunyai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang begitu prihatin kepada kesentosaan negara dan kebajikan rakyat.

"Atas nasihat Seri Paduka Baginda, maka kita telah mengambil inisiatif melupakan segala perbezaan dan mewujudkan kebersamaan dengan memeterai kerjasama rentas parti dengan pihak pembangkang.

"Hasil pendekatan inklusif ini, kita telah mencapai kestabilan politik. Pelbagai inisiatif lain yang kita rundingkan melalui sesi-sesi konsultasi telah mendapat sokongan meluas semua pihak.

"Ini termasuklah Bajet 2022 yang mendapat kelulusan majoriti serta Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 dan larangan lompat parti yang telah diluluskan sebulat suara," katanya semasa Perasmian Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan, di Putrajaya, pada Ahad.

Justeru itu, Ismail Sabri merakamkan penghargaan kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu yang telah memberikan nasihat dan sokongan kepada Kerajaan Keluarga Malaysia sejak setahun yang lalu.

Tambah beliau, ketaatsetiaan Kerajaan Keluarga Malaysia kepada Seri Paduka Baginda tidak boleh sama sekali diragui malah sentiasa menjaga hubungan baik dengan pihak istana selaras dengan prinsip pertama Rukun Negara, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Ucapan penghargaan dan terima kasih turut dizahirkan Perdana Menteri kepada semua ahli jemaah menteri, ahli-ahli Parlimen daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang yang menyokong pelbagai inisiatif yang telah dikemukakan.

"Sahabat saya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyebut, bahawa saya telah melakukan beberapa
pembaharuan politik yang radikal dalam hanya setahun pentadbiran saya.

"Semua ini tidak akan berlaku tanpa sokongan semua Ahli Jemaah Menteri serta semua Ahli Parlimen," ujarnya.