PUTRAJAYA: Sejak pentadiran negara diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tiga pindaan perlembagaan telah dilakukan.

Menurut Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun pindaan perlembagaan ini berjaya dibuat di Dewan Rakyat kerana perdana menteri mempunyai pandangan jauh.

Pindaan ini berjaya dibuat kerana Perjanjian Persefahaman yang berjaya dibuat antara perdana menteri dan Pakatan Harapan (PH) di Parlimen.

Antara pindaan yang dibuat ialah berkaitan Rang Undang-Undang Akta Antilompat Parti yang mendapat sokongan lebih dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Selepas ia diluluskan di sini (Parlimen), langkah seterusnya adalah untuk setiap negeri meminda Undang-Undang Tubuh masing-masing.

"Kenapa ia perlu dipinda? ini adalah kerana untuk terpakai kepada Ahli Dewan Undangan Negeri, perkara berkaitan hilang kelayakan atau tidak semuanya terdapat dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

"Manakala untuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Rakyat khususnya ia dikawal atau terkandung dalam Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Mengulas mengenai Perjanjian Malaysia 1963, beliau memaklumkan perkara tersebut juga antara yang menjadi tumpuan dalam pentadbiran Ismail Sabri.

"Ada perkara lagi yang kita tengok sekarang ini iaitu perkara 112 (d), ini hak yang diberi kepada Sabah dan Sarawak tentang pemberian khas atau special grant to Sabah Sarawak.

"Yang mana terdapat peruntukan undang-undang yang memerlukan Kerajaan Persekutuan menyemak perkara ini setiap lima tahun. Jadi ini satu kewajipan yang Kerajaan Persekutuan kena patuhi.

"Perkara ini sedang dilihat bagaimana kita dapat mengatasi masalah ini, ia berkaitan geran, ia melibatkan hasil yang dikutip, bagaimana kita mengagihkan hasil kepada Sabah dan Sarawak tetapi dalam masa sama ia mengekalkan kewajipan untuk kerajaan mengagihkan juga geran hasil kepada negeri lain," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Simposium Keluarga Malaysia yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya pada Ahad.

Mengenai Perintah Darurat pula, Idrus menjelaskan perintah tersebut telah dibatalkan sejak Ismai Sabri mengambil alih pentadbiran kecuali di Grik, Batu Sapi, Bugaya dan Melor.

Idrus juga memaklumkan, teks berwibawa Perlembagaan Persekutuan akan mempunyai versi Bahasa Malaysia sebaik sahaja mendapat penetapan dari Yang Dipertuan Agong.