DUNIA
Tentera Israel tembak jatuh peluru berpandu dari Yaman, ketegangan serantau terus memuncak

Serangan itu dipercayai dilakukan oleh kumpulan Houthi yang disokong Iran, yang telah berulang kali menyerang Israel. - Foto X/Rizwan Shah
TEL AVIV: Tentera Israel mengesahkan telah menembak jatuh sebuah peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman pada Ahad, dalam insiden terkini yang mencerminkan ketegangan berterusan di rantau Asia Barat.
Siren amaran berbunyi di beberapa kawasan termasuk sekitar Jerusalem dan selatan Israel, sebelum sistem pertahanan udara berjaya memusnahkan peluru berpandu tersebut di udara, tanpa sebarang kerosakan atau kecederaan dilaporkan.
Serangan itu dipercayai dilakukan oleh kumpulan Houthi yang disokong Iran, yang telah berulang kali menyerang Israel dan kapal dagang di Laut Merah sejak tercetusnya perang Gaza pada Oktober 2023.
Israel memberi amaran bahawa jika serangan berterusan, mereka akan mengenakan sekatan laut dan udara ke atas Yaman sebagai tindak balas.Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengeluarkan kenyataan tegas bahawa Houthi akan menerima “nasib yang sama seperti Tehran” jika mereka terus menyerang Israel.
“Selepas memukul kepala ular di Tehran, kami akan menghentam Houthi di Yaman. Sesiapa yang mengangkat tangan terhadap Israel, tangan itu akan dipotong,” katanya.
Serangan ini turut mendapat perhatian dari Duta Amerika Syarikat ke Israel, Mike Huckabee, yang menyatakan bahawa sistem pertahanan Israel telah berfungsi dengan baik, sambil menyindir bahawa “mungkin pengebom B-2 perlu melawat Yaman”.
Israel sebelum ini telah melancarkan beberapa serangan balas ke atas sasaran Houthi di Yaman, termasuk pelabuhan dan lapangan terbang yang dipercayai digunakan untuk melancarkan serangan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami