PUTRAJAYA: Pindaan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang antara lain membabitkan hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk antara kejayaan terbesar Kementerian Pengangkutan (MoT) dalam tempoh setahun pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ini kerana pindaan Akta 333 melibatkan Seksyen 41 hingga 45 yang mula dikuatkuasakan Oktober tahun lalu, berjaya dibentangkan ke peringkat Jemaah Menteri dalam tempoh 100 hari selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memimpin negara sebelum diluluskan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, kementeriannya memandang serius isu berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah atau memandu secara melulu dan berbahaya yang menyebabkan kemalangan sehingga meragut nyawa pengguna jalan raya lain termasuk penguat kuasa yang bertugas.

"Sehubungan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diminta untuk meneliti semula Akta 333 berhubung perkara itu khususnya mengenai hukuman yang lebih berat terhadap mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah secara melulu dan berbahaya.

"Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 telah dikemukakan serta diluluskan Jemaah Menteri pada 17 Julai 2020 dan pada 27 Julai 2020, ia dibaca buat kali pertama di Dewan Rakyat.

"MoT mengharapkan agar akta itu dapat memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap pematuhan undang-undang dan memastikan jalan raya kekal selamat demi kepentingan rakyat khususnya pengguna jalan raya," katanya dalam sidang media khas Pencapaian Malaysia Prihatin di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, pemeteraian perjanjian projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link antara Malaysia dan Singapura dalam tempoh 30 hari juga merupakan kejayaan dicapai setahun pemerintahan PN.

"RTS Link merupakan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di laluan Tambak Johor merangkumi pembinaan laluan sepanjang empat kilometer menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands di Singapura," katanya.

Sementara itu, beliau menambah, sehingga hari ini, hampir sejuta rakyat mendapat manfaat menerusi pas perjalanan tanpa had My30 yang diperkenalkan kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

"Pas My30 memberikan penjimatan berganda untuk mengurangkan kesan COVID-19 dalam kalangan pengguna pengangkutan awam di mana pengguna hanya perlu membayar RM30 sahaja untuk tempoh sebulan," katanya.