KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan usaha membanteras rasuah sepanjang setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan telah menunjukkan kejayaan pada peringkat permulaan.

Perdana Menteri berkata, antara ukuran penting adalah tiada mana-mana kepimpinan kerajaan yang terlibat dalam salah laku rasuah.

Malah, beliau berkata langkah berterusan mengekang aktiviti rasuah turut dimanifestasikan melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

"Penurusan tugas dan seperti mana kita tahu dalam Kerajaan Madani, tatakelola adalah pokok utama dan pembanterasan rasuah mesti diteruskan.

"Memang ada sedikit kejayaan permulaan (banteras rasuah) dan saya katakan antara ukuran penting adalah pimpinan sehingga sekarang setahun (pentadbiran Kerajaan Perpaduan), belum ada bantahan ataupun pendedahan tentang salah laku dan rasuah dalam kalangan pimpinan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melawat Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapan terhadap penubuhan JKMR.

Minggu lalu, lima ahli baharu JKMR menerima surat cara pelantikan masing-masing.

Antara yang dilantik ialah Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku Pengerusi JKMR; Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ahli Parlimen Batang Lupar Mohd Shafizan Kepli, Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui; dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman.

Di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, anggota JKMR dilantik Yang di-Pertuan Agong selama tiga tahun dengan pelantikan kali ini berkuat kuasa mulai 9 Oktober lalu.

Pelantikan dibuat atas nasihat Perdana Menteri selaras Seksyen 14 Akta SPRM.

Sementara itu, mengulas mengenai penggodaman pangkalan maklumat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Anwar berkata kerajaan ketika ini sedang memperkukuhkan aspek keselamatan siber melalui CyberSecurity Malaysia (CSM).

"...ada juga keputusan daripada Majlis keselamatan Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk jalin kerjasama dengan syarikat yang mempunyai keupayaan mengekang serangan ini," tambah beliau.