Setiap hari 18 individu bankrap di Malaysia, kerajaan perlu nilai semula ekosistem sokongan belia - Sivaraj

Sivaraj Chandran berkata, sebanyak 4,875 rakyat diisytiharkan bankrap dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, meningkat 5.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. - Gambar fail/Instagram sivarraajh
KUALA LUMPUR : Kira-kira 18 individu diisytiharkan bankrap setiap hari di negara ini, dengan lonjakan kes melibatkan golongan belia bawah 30 tahun merekodkan hampir 60 peratus daripada keseluruhan peningkatan kes tahun ini.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Sivaraj Chandran berkata, anggaran itu dibuat berdasarkan keseluruhan 4,875 rakyat yang diisytiharkan bankrap dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, meningkat 5.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, angka itu menunjukkan trend membimbangkan apabila 71.6 peratus daripada kes melibatkan hutang dari RM500,000 hingga RM1 juta, manakala 20.6 peratus lagi membabitkan hutang RM100,000 hingga RM500,000.
"Pinjaman peribadi terus menjadi penyumbang terbesar dengan 45.1 peratus daripada keseluruhan kes, membuktikan tahap kawalan kredit yang terlalu longgar sehingga generasi muda mudah terjerat dalam hutang besar.
"Ini bukti bahawa belia ditekan dari dua penjuru, iaitu kos hidup yang meningkat dan akses kredit yang terlalu mudah.
"Tanpa literasi kewangan yang memadai dan tanpa sistem penilaian kredit yang bertanggungjawab, segala bentuk insentif, geran atau skim kerajaan tidak lagi membawa makna apabila belia memulakan hidup dewasa dengan beban hutang yang berat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Negara, di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Sivaraj memaklumkan lebih dua juta tenaga kerja berkelulusan tinggi kini bekerja dalam sektor yang tidak memanfaatkan kemahiran atau kepakaran mereka.
Beliau berkata, semakin ramai graduan terperangkap dalam pekerjaan berpendapatan rendah, jauh di bawah tahap kelayakan, tanpa laluan peningkatan kerjaya yang jelas.
"Isu ini bukan soal tidak mendapat pekerjaan, tetapi masalah tidak memperoleh kerjaya yang setara dengan kelayakan," tegasnya.
Menurutnya, situasi itu berpunca daripada ketidakpadanan struktur pendidikan, lambakan program pengajian yang tidak relevan dengan keperluan pasaran serta tempoh latihan industri yang terlalu singkat untuk membina kemahiran sebenar yang diperlukan majikan.
Sehubungan itu, Sivaraj turut menggesa kerajaan untuk menilai semula secara menyeluruh ekosistem sokongan kepada belia, sambil menegaskan kerajaan tidak boleh terus berbangga dengan angka peruntukan dan retorik transformasi digital jika sistem asas masih pincang dan tidak memihak kepada golongan muda yang ingin membina kehidupan.
Beliau berkata, belia Malaysia tidak menuntut simpati, sebaliknya mengharapkan sistem yang adil, cekap dan bertanggungjawab, sistem yang tidak menjerut mereka dengan beban hutang serta tidak menghalang mereka daripada membina masa depan yang lebih baik.
"Sudah tiba masanya kerajaan berhenti mengumumkan skim demi skim tanpa membaiki punca sebenar masalah. Jika asas ini tidak diselesaikan, semua janji transformasi hanya tinggal slogan,” katanya.
Sivaraj menegaskan, selama mana isu teras tidak diperbetulkan, generasi muda akan terus menjadi mangsa dasar yang gagal menyentuh realiti hidup mereka.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


