NATIONAL
Setiap jabatan disaran kaji semula peraturan lama - Azam Baki

Menurut Azam, sistem kerja yang jelas dan berintegriti diperlukan dalam setiap jabatan kerajaan, termasuk pemantauan gaya hidup mewah oleh ketua jabatan. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Setiap jabatan kerajaan disarankan mengkaji semula undang-undang serta peraturan lama dan lapuk untuk dibuat pindaan atau perubahan bersesuaian dengan keadaan semasa, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Ringkasan AI
- Reformasi undang-undang disarankan untuk mengelakkan tanggapan negatif rakyat terhadap agensi kerajaan, dengan penambahbaikan SOP lama dan tidak jelas.
- Sistem kerja yang jelas dan berintegriti diperlukan dalam setiap jabatan kerajaan, termasuk pemantauan gaya hidup mewah oleh ketua jabatan.
- Maklum balas kepada media harus dilaksanakan dengan pantas dan tepat untuk memastikan masyarakat mendapat maklumat yang betul.
Azam berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman.
Majlis itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan dihadiri kira-kira 200 petugas JWP.
Azam berkata setiap jabatan kerajaan termasuk SPRM perlu mempunyai sistem yang jelas, terutamanya berkaitan dengan orang awam selain setiap hal ehwal pengurusan pejabat, barisan hadapan dan pengurusan perolehan perlu memiliki sistem kerja bersifat jelas, telus dan berintegriti.
"Sebagai contoh dalam urusan penguatkuasaan, pemantauan secara berterusan terhadap setiap warga kerja seperti pemantauan gaya hidup mewah hendaklah dilaksanakan ketua jabatan.
"Apabila sesuatu insiden berlaku selalu, kerajaan dipersalah, tetapi harus diingat, ada agensi kerajaan tiada pemantauan dan sistem pengurusan yang baik, menyebabkan berlaku persepsi imej kerajaan sebagai tidak baik," katanya.
Azam juga berkata maklum balas kepada media harus dilaksanakan dengan pantas dan tepat supaya maklumat yang betul sampai kepada masyarakat.
Beliau berkata berdasarkan pengalaman menangani kes saksi meninggal dunia iaitu Teoh Beng Hock, pengurusan media SPRM pada waktu itu agak kurang pengalaman dan cekap sehingga maklumat tepat tidak sampai kepada audiens walaupun pada peringkat dalaman sendiri.
"Daripada kesilapan, kami belajar bagaimana memberi respons kepada media. Apa yang paling penting ialah masyarakat diberi maklumat dan kefahaman jelas terhadap sesuatu isu," katanya.
Sementara itu, Dr Zaliha dalam ucapannya mahu JWP mengkaji keperluan menubuhkan pasukan pemacu tadbir urus dan integriti untuk ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.
Pada masa sama, beliau berkata semua bahagian dan agensi perlu membuat audit kendiri terhadap SOP dan proses kerja sedia ada untuk mencari ruang penambahbaikan secara berterusan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami