JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, menzahirkan rasa sedih menerima perkhabaran kes kematian kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dipercayai didera di Batu Pahat tiga hari lepas.

Baginda sebelum itu berkenan menerima menghadap Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat bagi menerima makluman tentang fakta-fakta kes itu di Istana Bukit Serene pada Rabu.

“Sungguh memilukan hati saya mendengar penerangan daripada Kamarul Zaman sehingga beliau sendiri menitiskan air mata.

"Ia mengingatkan saya kepada kes mendiang ‘Baby Bala’ pada tahun 1990 yang turut membawa kepada penggubalan Akta Kanak-Kanak 2001.

“Sebagai seorang ibu dan juga nenek, saya bukan sahaja menyeru, bahkan merayu kepada seluruh rakyat Malaysia supaya lebih peka dan ambil berat akan keselamatan kanak-kanak.

"Setiap nyawa tidak ternilai harganya,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Hadir sama pada pertemuan itu, Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Datuk Amir Nasruddin dan Presiden Johor Women’s League (JEWEL), Thanam Visvanathan-Suresh bagi menyampaikan pandangan dari sudut perundangan serta badan bukan kerajaan (NGO).

Raja Zarith berharap kematian kanak-kanak itu menjadi peringatan kepada masyarakat untuk lebih peka dalam melindungi golongan berkenaan.

“Ada pepatah menyebut satu kampung diperlukan untuk membesarkan seorang kanak-kanak. Kanak-kanak mengharapkan dan memerlukan kita ahli masyarakat untuk menjaga keselamatan mereka.

"Janganlah kita lepas tangan sehingga terjadi penderaan berlarutan dan kehilangan nyawa.

“Kita semua ada peranan yang amat penting dalam masyarakat iaitu melindungi kanak-kanak daripada didera. Tanggungjawab kita adalah amat besar,” titah baginda. - Sinar Harian