KUALA LUMPUR: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mengakui adanya dasar bagi menggalakkan rakyat melakukan aktiviti pertanian di sekitar tahun 70-an dan 80-an, menyebabkan adanya kawasan hutan simpan di negeri Selangor terdedah kepada aktiviti tersebut.

Menurut Pengarahnya, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid, masalah tersebut tidaklah begitu serius dan tidak melibatkan jumlah kawasan yang besar.

Beliau yang ditemui secara eksklusif oleh Astro AWANI di pejabatnya pada Khamis menjelaskan, terdapat kawasan yang dahulunya dibenarkan melakukan aktiviti pertanian oleh penduduk setempat namun kini sudah digazetkan sebagai kawasan Hutan  Simpan Kekal Negeri Selangor.

“Bagi kawasan-kawasan yang lama, dahulunya, dasar kerajaan menggalakkan orang bertani. Memang kita galakkan orang bertani terutamanya di Selangor. Tetapi dalam masa yang sama, tanah itu agak terbatas.

“Kita fikirkan juga dari segi sosioekonomi dan juga dari segi penduduk itu sendiri. Kalau kita ambil tindakan, apa akan jadi? Kalau dulu dia cari makan di tanah tersebut, kalau kita ambil tindakan, apa jadi dengan kehidupan dia? Jadi, (berkaitan) itu semua kita ada budi bicara dan kita boleh benarkan atau kita bagi permit dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Jabatan Perhutanan Selangor sama sekali tidak akan berkompromi jika ia membabitkan binaan struktur kekal atau tanaman yang boleh merosakkan ekosistem semulajadi yang menjadi keutamaan dan perlu dijaga.

Jelasnya, sama ada ia lama atau baru dilakukan, pihak Jabatan Perhutanan Selangor terpaksa mengambil tindakan bagi menjaga biodiversiti yang begitu mahal harganya sekali gus menghalang daripada ia terus berleluasa.

“Kita sebagai salah sebuah negara megadiversiti, salah satu daripada 12 negara megadiversiti di dunia yang memang dikenali. Sebabnya, hutan kita memang semulajadinya begitu kaya dengan biodiversiti flora dan fauna.

“Mereka tidak fikir bahawa kalau orang ceroboh (kawasan seluas) satu hektar, negara telah kerugian RM1.4 juta dari segi kehilangan biodiversiti. Itu belum lagi melibatkan dari sudut lain seperti pencemaran dan kesan akibat tindakan mereka.

"Mereka hanya fikir pendapatan mereka yang mampu diperolehi daripada satu hektar itu tetapi apakah mereka fikir apa yang telah kita hilang?” katanya lagi.

Oleh sebab itu, katanya, pihak Jabatan Perhutanan Negeri Selangor terpaksa mengerahkan penguatkuasaan walaupun dalam skala anggota yang begitu terhad.

Bagaimanapun, menurut Ahmad Fadzil, daripada 795,000 hektar yang dimiliki Selangor, sejumlah 250,000 hektar masih berjaya dikekalkan sebagai kawasan hutan simpan kekal iaitu mewakili 31.5 peratus daripada keluasan keseluruhan Selangor.

* Tonton Laporan Khas ini dalam AWANI 7:45 malam, Sabtu (2 Oktober 2021), di saluran 501.