Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan, Otman Arsahd dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 32 pertuduhan salah guna kuasa dan pemalsuan dokumen membabitkan kerugian dana kerajaan hampir RM40 juta.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

15 pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 manakala 17 pertuduhan lagi mengikut Seksyen 18(a) akta sama.

Otman didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pihak bawahan membuat bayaran kepada syarikat milik anaknya.

Dia turut didakwa mengarahkan pembayaran kepada empat syarikat untuk kerja yang tidak wujud.

Kesalahan terbabit didakwa dilakukan berulang kali bermula 28 Februari 2012 hingga 18 November 2015.

Pihak pendakwa memohon jumlah jaminan ditetapkan RM1 juta.

Permohonan itu dibantah peguam bela tertuduh atas alasan jumlah itu terlalu tinggi.

Hakim Allaudeen Ismail bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan dua penjamin.

Tertuduh turut diarahkan mencagar geran tanah 1.09 hektar miliknya kepada mahkamah.

Pasport tertuduh turut diarah disimpan mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Kes akan disebut semula 21 April nanti.