MALAYSIA
Setiausaha Negara AS Rubio tiba di Subang, untuk persidangan ASEAN

Rubio tiba pada jam 7.30 pagi dengan menaiki pesawat Boeing C-32 bersama delegasi dari AS yang terdiri dari kalangan pegawai, diplomat dan petugas media. - Foto X/Marco Rubio
SUBANG: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio tiba di Pengkalan Tentera Udara Subang, untuk lawatan pertamanya ke Malaysia, hari ini.
Beliau tiba pada jam 7.30 pagi dengan menaiki pesawat Boeing C-32 bersama delegasi dari AS yang terdiri dari kalangan pegawai, diplomat dan petugas media.
Ketibaan beliau disambut oleh Setiausaha bahagian tugas tugas khas Kementerian Luar Negeri, Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman; Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D. kagan dan Chargé d’Affaires (Kuasa Usaha) wakil AS ke ASEAN, Kate Rebholz.
Menurut pihak kedutaan AS, Rubio akan memulakan lawatannya dengan menghadiri mesyuarat persidangan ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.Pada sebelah petang beliau dijangka akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen sebelum menghadiri semula persidangan ASEAN.
Beliau dijadual menghadiri Persidangan Pasca Menteri-Menteri Luar ASEAN-AS, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Forum Serantau ASEAN (ARF) pada 10-11 Julai.
Rubio akan menekankan kekuatan Perkongsian Strategik Komprehensif dengan ASEAN yang memberi manfaat kepada rakyat AS dan Asia Tenggara, serta komitmen untuk memperkukuh Perkongsian Komprehensif dengan Malaysia.
Media melaporkan Perdana Menteri akan bertemu Rubio membincangkan tarif 25 peratus yang dikenakan oleh Presiden AS, Donald Trump pada Rabu.
Lawatan ini juga untuk menegaskan komitmen AS dalam memajukan rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan selamat.
Pegawai Penyelidik Kanan Merdeka Centre, Rizal Hamdan berpendapat lawatan Rubio diharapkan dapat membuka ruang untuk rundingan semula kadar tarif dikalangan negara anggota ASEAN.
“Sebagai rakan strategik dalam perdagangan dan keselamatan, AS tidak seharusnya menjauhkan lagi negara rakan dengan kadaf tarif yang membebankan, ia hanya akan menyebabkan negara di rantau ini mencari alternatif seperti mencari peluang pasaran di China.
“Diharapkan juga dapat membincangkan isu-isu strategik dengan menjadi rakan dialog mengenai perancangan pelaksanaan Code of Conduct di Laut China Selatan yg sudah lama tertangguh,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa dihubungi Astro AWANI sejurus selepas ketibaan individu antara yang terpenting dalam pentadbiran AS.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami