Abu Zahar: Saya tidak terima sebarang surat letak jawatan dari Waytha Moorthy

Yang Di Pertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata beliau tidak menerima sebarang surat perletakkan jawatan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy.

Abu Zahar: Saya tidak terima sebarang surat letak jawatan dari Waytha Moorthy | Astro Awani
Yang Di Pertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang hari ini berkata beliau tidak menerima sebarang surat perletakkan jawatan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy.

Abu Zahar berkata beliau juga tidak menerima apa-apa panggilan telefon daripada Waytha untuk menyatakan hasratnya itu.

“Saya hanya tahu tentang hasratnya selepas membaca beberapa laporan daripada suratkhabar. Saya tidak menerima panggilan telefon darinya.

“Sebagai seorang senator dan peguam, saya pasti Waytha tahu peraturan dan perlembagaan yang beliau perlu menghantar surat secara rasmi sekiranya hendak meletakkan jawatannya,” katanya kepada Astro AWANI.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu The Malaysian Insider, beliau tidak menerima sebarang surat rasmi peletakan jawatan dari Waytha Moorthy, yang juga merupakan pengerusi Hindraf itu.

"Saya tidak tahu, saya belum terima apa-apa lagi. Nak komen macam mana kalau saya tidak tahu," katanya kepada The Malaysian Insider.

Sebelum ini, Sin Chew Daily melaporkan bahawa Waytha telah menyerahkan surat perletakkan jawatannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tengah hari, hari ini.

Pada Sabtu, Waytha dilaporkan akan meletak semua jawatan dalam kerajaan, termasuk Senator, berkuatkuasa hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (HINDRAF) menerusi kenyataan setiausahanya, P. Ramesh.

Menurut Ramesh, Waytha memutuskan untuk meletak jawatan kerana mendakwa kerajaan Barisan Nasional gagal mengotakan janji, biarpun menang Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu.

Waytha dilantik sebagai senator dan timbalan menteri oleh Najib Razak selepas pilihan raya umum pada 5 Mei tahun lalu.