MALAYSIA
Shahlan bertahan 8 jam saksikan forensik bongkar kebenaran kematian Zara Qairina

Shahlan kongsi pengalaman lapan jam menyaksikan bedah siasat Zara Qairina di Hospital Queen Elizabeth I. - Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Selama lapan jam di bilik bedah siasat, peguam Shahlan Jufri menjadi saksi kepada kerja teliti pasukan pakar forensik yang berusaha mencari kebenaran di sebalik kematian Zara Qairina Mahathir, 13, di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di sini pada Ahad.
Ringkasan AI
- Shahlan Jufri menyaksikan bedah siasat selama lapan jam sebagai wakil keluarga Allahyarham Zara Qairina, menyifatkan pengalaman itu sebagai penuh emosi dan insaf, serta memuji ketekunan pasukan forensik.
- Sepanjang prosedur dari jam 11 pagi hingga 7 malam, beliau tidak makan, minum atau keluar kecuali dua kali untuk mengambil udara segar, demi memenuhi hasrat keluarga untuk mengetahui kebenaran.
- Proses bedah siasat turut disertai sesi penerangan dan soal jawab, dengan Shahlan menjadi saksi kepada setiap langkah teliti yang dilakukan oleh empat doktor pakar forensik.
“Ini memang kali pertama saya berada di bilik bedah, selalunya lihat gambar sahaja. Kalau saya mahu terangkan satu persatu bagaimana proses bedah siasat itu, saya boleh terangkan sekarang sebab masih lagi segar (dalam ingatan) dan doktor ada sebut tadi, dia terkejut sebab selama ini, inilah peguam yang boleh tahan di dalam (bilik bedah siasat).
“Saya masih tahu keadaan arwah bagaimana, pisau apa yang digunakan, mangkuk apa yang digunakan, macam-macam. Pada awalnya gemuruh, lepas itu rasa kasihan sebab terpaksa gali balik dan buat bedah siasat bukan suatu perkara yang mudah, dan ketiga insaflah,” katanya kepada pemberita sebaik keluar dari bilik bedah siasat.
Meskipun berada di situ selama berjam-jam, beliau hanya keluar sebentar dua kali untuk mengambil udara segar di bilik kaca.
“Tiada (tidak keluar ke tandas), saya ada dua kali pergi ke bilik kaca, saya mahu ambil udara segar kemudian saya masuk sekejap namun tidak sampai lima minit, doktor panggil. Jadi saya masuk semula ke bilik bedah, pakai pelitup mulut dan sebagainya.
“Kali kedua mahu ambil udara segar, masuk tidak sampai lima minit kena panggil balik. Akhirnya, saya cakap memang kena tunggu dalam, tidak boleh di luar, tidak boleh di bilik kaca,” jelasnya.
Malah, kongsinya lagi, sepanjang tempoh dari jam 11 pagi hingga 7 malam, beliau langsung tidak menjamah sebarang makanan atau minuman, sama seperti pasukan pakar forensik yang turut bekerja tanpa henti.
“Dari jam 11 hingga jam 7, tiada makan tiada minum. Sebab itu saya cakap tadi, saya sangat berterima kasih kepada pasukan forensik sebab mereka bukan lagi tidak makan tidak minum tetapi tidak duduk.
“Saya boleh duduk, mereka langsung tidak boleh duduk, mereka sentiasa bergerak untuk mencari kecederaan-kecederaan yang lama dan baharu, kalau ada,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa dirinya bertahan untuk kekal berada di dalam bilik itu dari awal hingga akhir demi memenuhi hasrat keluarga.
“Saya tahan, tidak keluar, memang di situ. Bagaimana baunya, apa mereka buat saya di situ sejak jam 11 pagi hingga jam 7 malam. Sebab kenapa, itulah keinginan ahli keluarga, sebab itu saya di situ. Bagaimanapun, saya hadaplah.
Sepanjang proses tersebut, jelasnya, turut dilakukan proses penerangan dan sesi soal jawab bersama barisan peguam.
“Ada sesi soal jawab, ada diterangkan dan semuanya ada,” katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami