KUALA LUMPUR: Penerokaan haram tanah rizab kerajaan dan hutan simpan yang keluasannya mencecah ribuan hektar di beberapa daerah di Pahang sudah lama diperkatakan.

Apa yang berlaku?

Pelbagai pihak sudah membangkitkan isu ini sejak sekian lama.

PEMBELA antara yang paling lantang apabila melihat ribuan ekar tanah di Raub tiba-tiba bertukar menjadi kebun durian.

Keluasannya makin bertambah, dari tanah landai ke bukit sehinggalah ke tebing sungai dipenuhi pokok durian dari variety yang premium.

Menurut rekod, penerokaan haram ladang durian yang dimusnahkan di kawasan Hutan Simpan Batu Talam adalah seluas 101.17 hektar.


Adakah kawasan tanah terlibat merupakan kebun haram?

Kebanyakan ladang dan kebun durian di sekitar Raub diusahakan di atas tanah milik kerajaan negeri dan hutan simpan secara haram.

Pencerobohan oleh pengusaha ladang durian ini melibatkan kawasan sehingga 4,400 hektar dan semuanya diusahakan tanpa sebarang kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri.


Apa kata Pengusaha kebun?

Kebanyakan pengusaha di kawasan itu sedar status mereka yang tidak sah, di mana menurut PEMBELA, mereka sebelum ini merayu agar diberikan tempoh sebelum sebarang tindakan diambil.


Apa kata polis?

Polis tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai isu ini, tetapi mereka memberi kerjasama yang baik termasuk mengiringi kru Astro AWANI ketika membuat tinjauan di kawasan yang diceroboh di Raub baru-baru ini bersama PEMBELA.


Apa kata Pejabat Tanah?

Kami telah cuba mendapatkan komen dan kenyataan daripada pihak Pejabat Daerah dan Kerajaan Negeri namun masih gagal.

Isu ini pernah dipaparkan Astro AWANI dalam laporan khas "Siapa Yang Khianat?" yang disiarkan di AWANI 7:45 pada 20 Januari 2020.

Laporan khas | Ceroboh tanah Pahang, siapa yang khianat?

Melalui laporan khas itu, kru kami telah melakukan tinjauan meliputi beberapa kawasan yang dijadikan ladang durian Musang King.

Ia termasuk beberapa ladang yang kini kesnya menunggu masa untuk didengari di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan 204 pekebun untuk mengetepikan notis pengosongan oleh pentadbir tanah.

Berdasarkan tinjauan bersama PEMBELA, pelbagai jenis kawasan diubah menjadi ladang durian termasuk kawasan rizab sungai.

Tiada pihak berkuasa berkaitan memberikan sebarang respons kepada usaha kami untuk mencari jawapan.


Persoalan

Persoalan yang kekal sehingga kini terarah kepada bagaimana insiden pencerobohan berskala besar ini boleh berlaku sejak puluhan tahun dalam keadaan pihak-pihak berkenaan mengaut keuntungan jutaan ringgit tanpa sebarang tindakan diambil.

Kenapa pihak penceroboh atau pengusaha ladang tersebut sewenangnya menceroboh kawasan yang telah diwartakan sebagai hutan simpan dan rizab Kerajaan Negeri Pahang sementara kerajaan negeri tidak mendapat sebarang hasil.

Penduduk Pahang khasnya dan rakyat Malaysia amnya mahukan satu jawapan dan kepastian kenapa ini boleh berlaku.