Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja perlu meletak calon muda dan berpendidikan tinggi dalam meraih keyakinan pengundi di Semenyih, malah perlu ada 'x factor' lain sebagai jaminan kemenangan, kata Exco Armada Muzzammil Ismail.

Kriteria seperti anak Selangor, berlatar belakang agama dan mampu membeli jiwa masyarakat kawasan setempat adalah nilai tambah yang mampu menjadi penawar keresahan pengundi Melayu waktu ini.

"Parti lawan daripada Barisan Nasional pastinya akan meletakan calon berpotensi menang yang muda dan berpendidikan tinggi juga," katanya kepada Astro AWANI.

"Ada juga ura-ura menyebut nama bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bakal sebagai calon dan jika ini berlaku pengaruh beliau juga mampu menggocak di Semenyih,' katanya.





Sementara itu bagi UMNO, penting bagi parti itu menampilkan calon yang tidak pernah terpalit dengan skandal.

Bagi Pengarah Startegi Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Wan Agyl Wan Hassan turut penting ialah calon yang ditampilkan itu nanti perlu bertanding atas tiket Barisan Nasional dan bukan parti komponen.