KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin menggesa projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama Timur (EKVE) Seksyen 2 disiapkan segera demi keselamatan dan keselesaan penduduk sekitar,
Beliau berkata, kelewatan projek itu menyebabkan penduduk sekitar khususnya di kawasan Ukay dan sekitar berdepan pelbagai masalah termasuk kesesakan lalu lintas berterusan, jalan raya yang tidak selamat serta isu keselamatan kawasan pembinaan seperti banjir lumpur dan potensi tanah runtuh.
“Rakyat di kawasan DUN saya sudah tunggu terlalu lama, jadi mereka mahukan projek ini disiapkan segera demi kemudahan harian, kelancaran lalu lintas serta faktor keselamatan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan projek,” katanya kepada media semasa membuat lawatan kerja di lebuh raya tersebut, di sini, pada Isnin.
Lawatan turut di hadiri oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Mohd Hadzmir Yusoff; Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS, JPM), Datuk Muhammad Razman Abu Samah dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan WZR, Datuk Wan Nadzir Wan Mohamad.
Pelaksanaan projek sejauh lapan kilometer itu sepatutnya siap pada 2019, namun terjejas akibat pandemik COVID-19 dan ia dijadualkan semula untuk siap pada Mac lepas tetapi ditangguhkan lagi kepada hujung tahun ini.
Kamri berkata, hasil lawatan ke tapak projek hari ini mendapati masih terdapat banyak kerja pembinaan yang belum siap malah ia dilaporkan telah terhenti sejak seminggu lepas.
“Saya masih ingat ketika Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) merasmikan EKVE Fasa 1 sebelum ini, PMX telah menegaskan dalam ucapan beliau bahawa 'Fasa 2 kena jaga…kalau lambat, kamu jaga!',” tegasnya.
Sehubungan itu, Kamri berharap urusan berkaitan pembiayaan dan pelepasan pembiayaan kepada pihak EKVE dapat dipercepatkan supaya kerja pembinaan dapat kembali berjalan dengan lebih agresif dan tersusun.
“Sekiranya kelewatan ini terus berpanjangan, risiko peningkatan kos projek akan menjadi lebih tinggi dan akhirnya akan memberi kesan kepada keseluruhan pelaksanaan projek termasuk kepentingan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah, Hal Ehwal Undang-Undang dan Korporat Kumpulan WZR, Datuk Ahmad Fazli Ahamad Nordin menjelaskan, kelewatan penyiapan lebuh raya itu berpunca daripada isu aliran tunai serta peningkatan kos bahan binaan utama seperti bitumen, premix, konkrit dan crusher run secara mendadak.
“Disebabkan kekangan aliran tunai yang dihadapi oleh syarikat konsesi, maka WZR sebagai kontraktor utama tidak ada cara lain melainkan menghentikan dulu aktiviti di tapak pembinaan.
“Sekiranya masalah ini dapat diselesaikan segera oleh pihak bank, maka pihak kita boleh teruskan aktiviti di tapak projek ini seawal mungkin dan menyiapkan lebuh raya ini mengikut jadual ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Sierra Ukay (Segora), Mazhan Mahmood, 60, berkata, penduduk kawasan itu bimbang berlakunya banjir lumpur akibat hakisan tanah di kawasan pembinaan.
Mazhan berkata, kejadian itu telah berlaku empat kali terutama ketika hujan berterusan menyebabkan kerosakan rumah dan harta benda, selain saluran longkang tersumbat dengan lumpur, batu kecil dan kotoran.
Ahli Jawatankuasa Segora, Abdul Karim Mohamed, 55, pula berkata, laluan keluar masuk yang terhad turut menimbulkan kerisauan penduduk, apabila kawasan itu hanya mempunyai satu jalan utama yang berlubang menyebabkan sering berlakunya kemalangan.
“Kita ada hampir 35,000 penduduk di sini, setiap pagi kami tersekat dalam trafik selama sejam hanya untuk nak masuk ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang sepatutnya mengambil masa 10 minit sahaja. Sudah 10 tahun kami berdepan isu ini, jadi tolong jangan tangguh lagi,” katanya.
--BERNAMA