KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan siasatan berhubung kepincangan bekalan beras di negara ini bukan menjurus kepada individu atau pihak tertentu.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya tidak ada menetapkan sasaran berhubung siasatan SPRM melibatkan isu beras.

Malah kata beliau, tidak ada agensi tertentu atau mana-mana pihak kerajaan negeri menjadi sasaran siasatan SPRM berhubung perkara tersebut.

"Saya tekankan, tidak ada target kepada seseorang atau mana-mana pihak kerajaan negeri atau jua ahli politik.

"Ini kerana tugas kami di SPRM adalah untuk meneliti sebarang maklumat atau aduan yang diterima, kemudiannya bertindak secara profesional menyiasat mereka yang terlibat.

"Malah tidak ada juga kekangan politik atau penglibatan mana-mana pihak dalam jangkaan kami kerana siapa sahaja yang bersalah atau menyalah guna kuasa akan menjadi perhatian kami, tidak kira siapa pun mereka itu," katanya ketika sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Public Private Partnership (PPP) Fasa 2.0 dengan tajuk Pendekatan Strategik dan Holistik Memerangi Jenayah Rasuah dan Pengubahan Wang Haram Selari Dengan Aliran Global.

Hadir sama Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abd Rahman Abu Bakar.

Azam berkata, usaha menyiasat berlaku isu kepincangan beras negara digiatkan SPRM ketika ini.

Beliau berkata, satu pertuduhan telah dilakukan oleh SPRM ke atas sebuah syarikat padi pada Rabu.

Tambahnya lagi, menerusi maklumat diterima, SPRM juga telah menyerbu lima buah kilang memproses padi di Kedah pada Rabu dan pagi Khamis.

Jelasnya, beratus tan beras berjaya ditemui pada serbuan tersebut dan pihaknya masih menunggu maklumat lanjut daripada pegawai bertugas di lapangan.

Tegasnya, siasatan SPRM bukan sahaja memfokuskan kepada perbuatan menyorok beras sahaja tetapi kepada subsidi lain yang terlibat dengan isu beras.

Katanya, perkara itu melibatkan dana peruntukan kerajaan yang berkait dengan subsidi diselewengkan.

"Kita juga melihat penglibatan pihak-pihak lain yang bersekongkol dengan pihak kilang terlibat.

"Meskipun isu beras ini ada melibatkan banyak agensi kerajaan lain, tetapi SPRM melihat kepada perspektif kami sendiri iaitu rasuah dan kemungkinan melibatkan akta-akta SPRM yang lain," ujarnya.

Ditanya adakah ada lagi kilang-kilang padi yang akan diserbu SPRM, Azam menyatakan dia tidak menolak kemungkinan ada lagi kilang akan dibuat pemeriksaan.

Selain itu menurutnya, SPRM mengsyaki subsidi yang dikeluarkan oleh kerajaan tidak selari dengan pengeluaran padi yang diedarkan kepada orang ramai.

Katanya lagi, pihaknya juga perlu melihat dan meneliti segala dokumen terlibat termasuk invois dan tuntutan mendapatkan subsidi.

"Pihak yang terlibat dalam kawal selia padi juga akan dipanggil untuk memberi keterangan," ujarnya. - Sinar Harian