KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tempoh dua minggu kepada James Chai untuk hadir memberi keterangan berhubung siasatan kes pelaburan ARM yang bernilai RM1.12 bilion.
Suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya juga bersedia untuk menanggung kos penerbangan bekas pembantu kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli itu, pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan.
Advertisement
Tegas SPRM, jika James Chai masih gagal hadir setelah diberikan lanjutan masa sebanyak dua kali, suruhanjaya itu akan mempertimbang mendapatkan kerjasama saluran antarabangsa termasuk Interpol atau agensi penguatkuasaan luar negara bagi mengesan dan memastikan kehadirannya.
"Pada 4 Mac 2026, SPRM telah mengeluarkan Notis Mengesan Individu bagi mengesan beliau.
"Susulan itu, SPRM menerima surat daripada Tetuan beliau bertarikh 9 Mac 2026 yang memaklumkan bahawa James Chai tidak dapat hadir untuk dirakam percakapan dengan alasan kos penerbangan dan kekangan pekerjaan.
"SPRM kemudiannya telah mengeluarkan surat balas bertarikh 13 Mac 2026, memberi lanjutan masa untuk James Chai hadir pada 31 Mac 2026, namun beliau sekali lagi gagal memaklumkan keinginan untuk hadir," kata SPRM dalam kenyataan tersebut.
SPRM menegaskan bahawa semua individu yang dipanggil untuk membantu siasatan wajib memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
Kenyataan tersebut menambah, sekiranya James Chai berpendirian bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, tindakan sewajarnya adalah tampil memberi keterangan kepada SPRM, dan bukannya terus mengemukakan penjelasan di ruang awam tanpa menghadirkan diri kepada pihak berkuasa.
"SPRM menegaskan bahawa tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang, dan siasatan akan diteruskan secara profesional, bebas dan berasaskan bukti," kata suruhanjaya itu lagi.
Dalam masa sama, SPRM memaklumkan setakat ini 17 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan, melibatkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
SPRM juga telah mengambil dokumen penting termasuk perjanjian dan dokumen sokongan, dan dijangka merakam percakapan lapan lagi saksi, termasuk individu yang berada di luar negara.