SEREMBAN: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula 18 April ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata persidangan tersebut yang sepatutnya berlangsung pada 21 Mac lepas terpaksa ditangguhkan susulan Yang Dipertua DUN Datuk Zulkefly Mohamad Omar dan Timbalannya Datuk M. Ravi serta 23 petugas dewan disahkan positif COVID-19.

"Antara agenda dalam persidangan tersebut ialah pembentangan dua rang undang-undang (RUU) iaitu RUU Pemegangan Tanah Adat 2022 dan Penggubalan RUU Majlis Perbandaran Jempol 2022," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut bercadang mengadakan persidangan DUN secara hibrid mengikut keperluan selepas ini dalam menghadapi sebarang kemungkinan sehingga menyebabkan persidangan terpaksa ditangguh terutama ketika berdepan COVID-19.

Aminuddin bagaimanapun berkata perkara itu masih dalam peringkat perancangan dan perlu diperhalusi serta ditambah baik terlebih dahulu sebelum dibawa kepada jawatankuasa DUN dan dipersetujui kesemua Ahli DUN.

"Kita tak tahu masa depan, dengan adanya langkah itu ia lebih memudahkan supaya DUN dapat dilaksanakan walau apa keadaan termasuk bencana dan COVID-19, kita tak mahu (sidang DUN) tertangguh. Kita kena bersedia cepat...tapi lebih baik diadakan bersemuka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata terdapat beberapa pihak termasuk Yayasan Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam negeri yang mempunyai peruntukan tertentu bagi membantu pelajar kurang berkemampuan termasuk pemberian komputer riba untuk pembelajaran.

"Kita sedia maklum, mana-mana pelajar yang memerlukan, (kita akan beri). Daripada apa yang kita lihat memang dia (pelajar) itu layak menerima sumbangan yayasan negeri tetapi maklumat tak sampai kepada kita, tapi kita akan siasat...kita minta jangan tularkan lagi video itu kerana beri imej buruk kepada kedua-dua pihak," katanya.

Beliau mengulas mengenai video tular berdurasi seminit 45 saat hari ini memaparkan seorang pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) didakwa memarahi pelajarnya yang dilaporkan berasal dari Seremban kerana tidak memiliki komputer riba ketika menjalani sesi pembelajaran dalam talian.

-- BERNAMA