IPOH: Kerajaan Negeri Perak bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan bagi pengurusan sekolah menengah tahfiz di negeri itu diambil alih oleh pusat.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata usul berkenaan dibuat bagi membolehkan pengurusan sekolah berkenaan diperkasakan sama seperti Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

“Memang kerajaan negeri berhasrat untuk berbincang dengan Kerajaan Persekutuan supaya mereka dapat bersetuju untuk mengambil alih pengurusan sekolaj tahfiz sebagaimana dilakukan SABK.

"Kita ada cadangan untuk adakan perbincangan berkenaan perkara itu," katanya menjawab soalan tambahan Muhammad Zulfadli Zainal (PN-Slim) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.

Sebelum itu Muhammad Zulfadli menyuarakan kebimbangan berkenaan pengurusan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) terutama dari segi isu perjawatan guru yang kebanyakannya masih berstatus kontrak.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan RM20 juta bagi perbelanjaan mengurus SMTDR.

Menurutnya, peruntukan itu bagi program kecemerlangan  pelajar, bayaran emolumen guru, latihan dan bayaran perkhidmatan makanan bermasak pelajar serta keperluan operasi yang lain.

“Setakat ini sebanyak empat  SMTDR telah beroperasi di empat daerah iaitu SMTDR Manjung di Pulau Pangkor, SMTDR Kerian di Gunung Semanggol, SMTDR Hulu Perak di Bukit Sapi Lenggong, dan SMTDR Batang Padang di Sungai Lesung, Tapah.

“Manakala sebuah lagi SMTDR yang hampir siap pembinaannya pada November tahun ini iaitu SMTDR Tambun,” jelasnya.

Tambah beliau, enrolmen pelajar bagi keempat-empat SMTDR itu adalah seramai 541 orang pelajar berbanding kapasiti maksima sekolah iaitu 735 orang pelajar, setakat tahun ini.