LABUAN BAJO: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim gembira dengan kemajuan ketara dan daya tahan yang dicatatkan oleh Kawasan Pertumbuhan Asean Timur- Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) meskipun berdepan halangan akibat daripada impak berpanjangan pandemik COVID-19.

Beliau berkata negara anggota memuji komitmen teguh pemain utama pelancongan BIMP-EAGA dalam menggiatkan semula industri melalui penyelesaian inovatif.

"Sumber tenaga lestari diiktiraf sebagai keutamaan dan pengupaya kritikal dalam peralihan tenaga bersih BIMP-EAGA, selain peranan penting teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam mencapai ekonomi digital," katanya kepada media Malaysia selepas mempengerusikan Sidang Kemuncak BIMP-EAGA ke-15 bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-42, hari ini.

Anwar diiringi oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Luar Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Rafizi dalam satu kenyataan berkata, prestasi ekonomi di rantau BIMP-EAGA melantun semula dengan kukuh apabila mencatatkan pertumbuhan tiga peratus pada 2021 berbanding penguncupan satu peratus pada 2020.

Gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) BIMP-EAGA pada 2021 berjumlah US$358.6 bilion, berada di landasan untuk mencapai sasaran 20 peratus menjelang 2025 manakala jumlah perdagangan barangan meningkat sebanyak US$65.8 bilion pada 2022.

"Para pemimpin menantikan pemeteraian Rangka Kerja Kerjasama Ekonomi antara BIMP-EAGA dan Jepun pada 2023," katanya.

Sementara itu, para pemimpin kawasan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) menyatakan komitmen tidak berbelah bahagi mereka terhadap usaha pemulihan pelancongan pasca-pandemik dan berbesar hati untuk merasmikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 sebagai kerjasama serantau untuk bersama-sama memulihkan industri pelancongan.

Rafizi berkata industri halal juga telah dicadangkan sebagai bidang tumpuan utama untuk menerajui kerjasama IMT-GT, yang disasarkan menjadi hab halal bagi pasaran global.

"Para pemimpin menyeru tindakan bersama untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan halal rantau ini ke pasaran baharu dengan kerjasama bersama rakan kongsi IMT-GT yang berpotensi," katanya.

Semasa Sidang Kemuncak IMT-GT ke-15 yang dipengerusikan oleh Presiden Indonesia Joko Widodo, Rafizi berkata Malaysia menunjukkan sokongan dan komitmen terhadap keputusan negara itu untuk memindahkan ibu negara mereka dari Jakarta ke Nusantara.

Malaysia juga memaklumkan kepada negara anggota mengenai kelulusan peruntukan RM1 bilion kepada Sabah dan Sarawak untuk pembangunan sempadan bagi merangsang aktiviti ekonomi penduduk di kawasan sekitar, katanya.

-- BERNAMA