KUALA LUMPUR: Acara Sidang Kemuncak KL20 2024 pada 22-23 April ini bakal melonjakkan Malaysia dalam kelompok 20 teratas syarikat pemula niaga global menjelang 2030 selain memacu kedudukan negara ini bagi syarikat berkenaan serta modal teroka.

Ketika berkongsi perkara itu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata ini juga sejajar dengan kedudukan Kuala Lumpur ketika ini yang berada dalam kelompok 47 teratas global.

"Sidang Kemuncak KL20 2024 menjadi bukti komitmen Malaysia memupuk ekosistem pemula niaga serba pesat di rantau ini. Mesej ringkas kita kepada dunia adalah Malaysia kini bersedia dan terbuka kepada perniagaan dalam sektor digital dan teknologi.

"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan persidangan itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur," katanya pada majlis prapelancaran sidang itu di Parlimen di sini, semalam.

Menurut kenyataan, Anwar juga dijadual melancarkan kertas tindakan KL20 - pelan yang menggariskan pembaharuan bagi mencapai penumpuan dalam kalangan pihak berkepentingan untuk melonjakkan sektor teknologi syarikat pemula peniaga ke tahap baharu.

Menjelaskan selanjutnya, Rafizi berkata kerajaan juga berharap inisiatif radikal yang sedang diusahakan dapat mewujudkan rancangan bagi syarikat permulaan berteraskan tiga perspektif iaitu pembiaya, pengasas dan bakat atau tenaga kerja.

Sehubungan itu, katanya, acara KL20 2024 berkenaan bukan sekadar menyaksikan perbincangan atau siri kertas dokumen, tetapi berteraskan tindakan bagi mencetuskan perbincangan dalam kalangan masyarakat pemula niaga.

Bagi modal teroka, Rafizi berkata beberapa firma modal teroka antarabangsa telah membuka pejabat di Malaysia manakala firma unicorn iaitu syarikat permulaan dengan nilai lebih US$1 bilion, turut mewujudkan kemudahan penyelidikan di negara ini.

"Kita akan menyaksikan pelancaran dana pertumbuhan yang berdasarkan piawaian Malaysia melibatkan (jumlah) yang besar, lebih daripada yang pernah dilihat sebelum ini," katanya.

Beliau berkata terdapat sedikit perubahan dari segi strategi iaitu berbanding dasar sebelum ini yang menumpukan syarikat permulaan tempatan dan menarik syarikat unicorn, Malaysia kini mahu menarik kehadiran pengasas syarikat pemula niaga global ke negara ini.

"Langkah menarik kehadiran kelompok pengubah ini ke dalam ekosistem itu bagi membolehkan Malaysia meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai selain membuktikan keupayaan untuk bersaing dengan yang terbaik.

"Oleh itu, sama ada anda pengasas dari Kuala Lumpur, Jakarta, Mumbai atau Seoul, jika anda bawa dan majukan syarikat di sini, pada akhirnya yang menerima manfaat adalah tenaga kerja serta ekonomi Malaysia," katanya.

Sementara itu, lebih 1,000 peserta dalam kalangan pelabur antarabangsa dan syarikat pemula niaga dijangka menghadiri KL20 2024.

Ini termasuk perintis industri seperti Rakan Kongsi Pengurusan GGV Capital Jenny Lee; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Hive Geraldine Andrieux Gustin dan Naib Presiden Eksekutif dan Timbalan Ketua Pegawai Pelaburan China Investment Corp Qi Bin yang akan berkongsi pandangan mengenai faktor yang merangka masa depan keusahawanan dan inovasi.

Acara itu akan turut mengetengahkan potensi Malaysia sebagai persekitaran serba kondusif untuk syarikat pemula, terutama dalam sektor utama seperti pembuatan dan automasi, teknologi pertanian atau agritech, teknologi bersih serta kewangan Islam.

Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh diperoleh menerusi https://www.kl20.gov.my/

-- BERNAMA