Sidang Parlimen: "Peringatan untuk Yang Berhormat, rakyat akan melihat dan menilai kita" - MP Pas

Firdaus Azil
September 13, 2021 05:52 MYT
Semua pihak perlu fokus kepada usaha bersama dalam menangani pandemik COVID-19, serta meningkatkan kesejahteraan rakyat dan negara, kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
KUALA LUMPUR: Perbahasan Sidang Dewan Rakyat kali ini diharap lebih berkualiti, tanpa sebarang jerit-pekik serta penggunaan kata-kata yang melampau
Itu peringatan yang diberikan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang berharap semua rakan seperjuangannya dalam Dewan Rakyat akan meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan berbanding berbahas hal-hal yang remeh.
Harapan itu juga, tegas Ahmad Fadhli seiring dengan Titah Raja oleh Yang di-Pertuan Agong yang menetapkan naratif dan hala tuju perbahasan agar kedua-dua pihak perlu memberi fokus kepada usaha bersama dalam menangani pandemik COVID-19 selain meningkatkan kesejahteraan rakyat dan negara.
Justeru, Ahmad Fadhli berkata, inilah masa bagi Yang Berhormat-Yang Berhormat melaksanakan tanggungjawab mereka kerana rakyat akan melihat, mendengar dan menilai sidang perbahasan.
“Pembangkang boleh bangkang apa yang mereka rasa baik dan boleh sokong. Begitu juga blok kerajaan, boleh sokong usaha kerajaan, juga boleh membangkang kalau ada perkara boleh ditegur.
“Begitu juga jawapan menteri-menteri... ini masa untuk menteri tak hidangkan lawak jenaka, tak berfakta. Rakyat sedang melihat, sedang mendengar, sedang menilai apa yang berlaku dalam Parlimen,” katanya kepada Astro AWANI.
Politik | Henti jerit pekik, bahas isu mendasari rakyat
BACA: Agong dedah terima ratusan surat rintihan daripada rakyat
BACA: Wakil rakyat, agensi kerajaan diminta turun padang, selami isu rakyat secara lebih dekat
BACA: Jangan pertaruhkan masa depan negara, rakyat - pesan Agong kepada ahli politik
SISI TV PARLIMEN, PANTAU APA AHLI PARLIMEN ANDA BINCANGKAN
Terdahulu, Agong menitahkan agar wakil rakyat dan semua agensi kerajaan perlu bertindak proaktif dengan turun padang untuk meninjau dan menyelami isu rakyat secara lebih dekat serta memantau pencapaian program diumumkan kerajaan.
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, beberapa perkara perlu diberi tumpuan termasuk program jaringan keselamatan sosial seperti inisiatif Wilayah Cakna, Skim Wilayah Bebas Berniaga dan Program Usahawan Anak Muda Kota.
Selain itu, Yang di-Pertuan Agong turut bertitah supaya semua pihak tidak lagi meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, Titah Diraja itu telah menetapkan titik tolak kepada kerjasama antara kerajaan dan Blok Pembangkang.
“Baginda juga berkali-kali menitahkan lagi tiada lagi agenda politik melampau, berkali-kali minta semua pihak pastikan wabak ini dapat diatasi.
“Baginda juga nyatakan bahawa Istana Negara sendiri terima ratusan surat rakyat bagaimana sedihnya rakyat yang dihimpit pelbagai isu kerja, ekonomi dan sebagainya,” tegas Ahmad Fadhli lagi.
Ahmad Fadhli berkata, ia jelas merupakan titah seorang raja yang menyelami perit hidup rakyat yang sedang berdepan pelbagai isu yang menghimpit kehidupan mereka.
#Dewan Rakyat #Titah YDP Agong #Ahmad Fadhli Shaari #perbahasan #SisiTV Parlimen