SEJAK minggu lepas, tiada satu hari pun tanpa ada berita susulan terbitnya buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan pendedahan terbaharu dalam naskhah berkenaan.

Radar tumpuan, sama ada kritik, komen, jawapan balas dan kemungkinan tindakan saman, disorot di beberapa kerat akhbar arus perdana yang ada, di kaca televisyen dan tidak kurang beratus-ratus portal berita di negara ini.

Yang mengkritik dan komen tentunya mereka yang disebut secara langsung dan tidak langsung dalam buku berkenaan. Barangkali sebelum mengkritik dan memberi komen, entah baca, entah tidak keseluruhan buku setebal 531 halaman ini.

Mereka yang kritik, komen, beri jawapan balas dan menyuarakan tindakan saman bukan sebarangan - ada Menteri dalam kerajaan sekarang, bekas Menteri, bekas Perdana Menteri, tidak kurang ketua badan bukan kerajaan yang mewakili kaum tertentu di negara ini.   

Orbit Tommy Thomas seputar bekas pegawai kanan dalam institusi perundangan, peguam, bapa tiga anak perempuan bergerak rancak apabila bertambah satu lagi status - penulis buku.

Sebagai pencinta buku, saya termasuk juga dalam orbit ini, terpanggil untuk menumpahkan buah fikiran tentang buku, yang di pasaran harganya ialah RM80 ini.

Dengan begitu banyak reaksi, kritikan dan komen tentang buku ini, ia datang bersama khabar angin, kemungkinan buku baharu ini diharamkan.

"Usah haramkan dahulu, biar rakyat membaca dan beri pandangannya tentang tulisan Tommy ini,'' kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan bekas Menteri Pertanian dan Asas Tani, saat ribut-ribut memperkatakan tentang 'My Story: Justice in the Wilderness'. Beliau kemudiannya menyambung kenyataan bahawa pengharaman akan menjadikan Tommy lebih popular, jadi lebih baik jangan haramkan.

Nah, saya cepat-cepat memilikinya sebelum kemudiannya, boss saya yang termuda, meyakinkan begini: "Tidak, belum ada dengar lagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan haramkan buku ini."

Saat buku bertukar tangan, saya sudah persiapkan pandangan, ia adalah naskhah memoir, salah satu cabang daya pikat buku, memberi makna kepada dunia penulisan dalam pengertian umum, iaitu dunia dokumentasi, sama ada kreatif atau non kreatif.

Sewaktu menulis apa sahaja bentuk buku, bukan sahaja ia melibatkan proses kreatif minda tetapi turut melibatkan emosi. Ini ada juga kepada Tommy dalam buku pertamanya.

Dalam hal ini, contoh lain ialah Gao Xingjian, insan seni berbakat dari China, yang menjadikan penulisan sebagai wahana terbaik mengekspresi diri, membebaskan diri daripada tekanan penguasa dan wahana untuk memperkuatkan kewujudan dirinya.

Saya jujur sahaja. Membaca My Story: Justice in the Wilderness, saya melihat keunikan buku itu sebagai perakam sejarah kelangsungan manusia sepanjang peradabannya. Sekadar beberapa contoh, Tommy merakam sejarah mengenai 13 Mei, kes profil tinggi - Altantuya, 1MDB, SRC International, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam bukunya ini.

Kepada Tommy, yang menghambakan dirinya sebagai peguam sejak remaja, buku menjadi perakam terbaik sejarah individu - dirinya dan orang lain yang ada kaitan dengan dirinya juga.

Melalui jenis penulisan bersifat memoir - yang ada dalam My Story: Justice in the Wilderness - kita dihidangkan dengan hal menarik yang dilalui individu tertentu. Pengalaman individu tersebut dimanfaat dan dikongsi bersama untuk menambahkan ilmu kita. Persoalan sama ada memoir itu baik, buruk, benar atau sebaliknya adalah sesuatu persoalan yang relatif, kerana pada akhirnya, pembaca akan memberi tafsirannya.

Sifatnya memoir, tentu ada kontroversi dan fakta disangsi sana sini. Namun ini yang menjadikan memoir itu dokumen menarik dan terbaik. Ambil contoh, memoir Living History (2003) oleh Hillary Clinton, berisi pengalaman sebagai Wanita Pertama ketika suaminya menjadi Presiden Amerika Syarikat. Namun, tidak hanya itu, daya penarik Living History adalah seputar hubungan sulit suaminya Bill Clinton dengan Monica Lewinsky. Wanita lain tentunya enggan menulis hal yang paling rahsia dan kontroversi itu. Akan tetapi Hillary memilih sebaliknya. Barangkali, semasa membuat keputusannya, Hillary bukan hanya mahu memaparkan fakta, tetapi menulis untuk mengatasi kenangan sehingga dapat meneruskan hidup dengan penuh kepercayaan.

Begitu juga, memoir A Doctor In The House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad (2011). Kerana sifatnya memoir, ada unsur sensitiviti dan kontroversi - di dalamnya walaupun terdapat kisah kehidupan bekas Perdana Menteri sebagai doktor dan kemudian menjawat jawatan nombor satu negara, ia terselit pendedahan mengenai pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri. Buku itu juga menyentuh mengenai hubungan dengan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew. Ketika buku itu dilancarkan, Tun Mahathir sendiri akui sedia berdepan tindakan litigasi kesan daripada pihak yang mungkin terkilan dengan pendedahan dalam naskhah itu. Tetapi tiada saman, tiada jawapan balas walaupun ada yang tidak puas hati.

Individu yang mahu buku itu ditarik daripada pasaran atau mahu memfailkan tindakan saman ke atas penulis buku, ada asasnya mengeluarkan kenyataan sedemikian. Ambil contoh Bab 42 mengenai Altantuya, halaman 400 yang memperincikan kes mahkamah berprofil tinggi dengan Tommy menyebut mengenai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam bab itu, Tommy menulis bagaimana kes itu bermula, disiasat, kertas pendakwaan, kes pembelaan, keputusan dan pasca prosiding kes. Begitu juga, dikongsikan bagaimana bapa Altantuya datang ke Kuala Lumpur untuk membuat rundingan disaksikan peguam bela. Makna lain, hampir semua episod dalam kes pembunuhan itu, diceritakan oleh Tommy dalam bukunya itu, di mana ia tidak sepatutnya begitu, memandangkan ia adalah rahsia negara.

Sekali lagi, saya katakan, saya membedah My Story: Justice in the Wilderness atas sifatnya ialah memoir. Saya tidak katakan buku itu 100 peratus benar, kerana itu bukan sifat memoir. Tetapi saya pasti ada yang benar di dalam buku berkenaan. Tidak kurang, ada yang tidak benar (fiksyen) malah, yang meragukan juga. Itulah sifat memoir. Sepatutnya, segala yang ada boleh dikerahkan untuk menjawab, mengkritik dan menulis balas. Bukan untuk sewenang-wenangnya mengatakan "haram sahaja buku itu, ia ada unsur fitnah dan mala fide" atau "tarik sahaja dari pasaran, ia memalukan, satu penghinaan kepada kaum Melayu."

Menulis balas apa yang dikongsi dalam memoir adalah satu tindakan yang wajar. Saya menekuni Bab Resignation di halaman 472 buku ini, mengenai peristiwa yang datangnya selepas Langkah Sheraton, membawa pula kepada peletakan jawatan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Dalam bab itu, Tommy menulis dan saya petik tulisan itu begini:
"The Agong proceed to act constitutionally by wanting to appoint Wan Azizah as Acting Prime Minister. Tun Mahathir put forward his own name. This is probably without precedent in modern politics. A Prime Minister who is comfortably in power resigns of his own free will and violation." Disambung lagi dengan menulis: "Relinquishing power as Prime Miniter, and exchanging that office by becoming Interim Prime Minister, is without parallel because it is inexplicable; the second bizarre decision made by Tun on 24th February."

Tentunya, Tun Mahathir tidak setuju dengan apa yang ditulis Tommy itu. Dan, Tun Mahathir menjawab tulisan Tommy itu dengan 35 perenggan kenyataan, beberapa hari selepas buku itu masuk ke pasaran. Jawapan itu memberi dua dimensi, yang kemudiannya melorongkan pembaca membuat tafsiran masing-masing.  

Dengan begitu meluas kritikan dan komen terhadap tulisan Tommy - kebanyakannya menjurus kepada sisi kegagalan PH, hal perkauman, kes kontroversi, reformasi undang-undang negara, ia menenggelamkan bab-bab lain dalam My Story: Justice in the Wilderness. Kesemuanya ada 45 bab dalam buku ini.

Misalnya, Tommy menyentuh mengenai kebanyakannya teman-teman dan perihal keluarganya, serta catatan kehidupan lainnya dalam bentuk yang lebih pendek dan ringkas, dengan tenaga tulisan yang lebih sederhana.

Pecahan bab, selain yang kontroversi, mengisi buku terbaru ini, dengan sebahagian besarnya berupa penghargaan dan keraian terhadap Tommy oleh insan-insan yang berada dekat dengannya, atau yang terkesan dengan pengorbanan dan kesungguhannya untuk meraih kebebasan dan melawan penindasan di hadapan kekuasaan. Buku terbitan Strategic Information and Research Development Center (SIRD) ini merakamkan penghargaan antaranya kepada Clare Rewcastle Brown dan Datuk Ambiga Sreenevasan.

Mencuri perhatian saya, kesimpulan Tommy tentang Raja-Raja Melayu dan soal memberi pengampunan. Beliau menulis bagaimana peranannya membentangkan kes-kes besar yang dijatuhkan penjara seumur hidup seperti bunuh, rogol dan diberi pengampunan kemudiannya. Ini seperti mana petikan tulisan beliau : "What I found most exhilarating was how seriously each Malay Ruler took his constitutional responsibility as guardian of mercy (halaman 330)."

Seperti yang dikatakan, memoir sebagaimana sifatnya, sepatutnya boleh disimpan sebagai menambah ilmu pengetahuan mengenai sejarah individu tertentu.

Membaca dan kemudiannya habis menekuni, My Story: Justice in the Wilderness tentunya ada ilmu pengetahuan baharu dicedok untuk saya juga. Setidak-tidaknya saya tahu, Tommy pernah mewakili Pas di Terengganu untuk kes royalti Petronas, kerana itu Pas tidak berkata apa-apa semasa Tommy dicalonkan sebagai Peguam Negara apabila PH ambil alih kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei 2018.



* Azlinariah Abdullah ialah pengkaji Pengajian Antropologi dan Budaya di Institut Asia- Eropah (AEI), Universiti Malaya dan penulis buku Pengembara Tanpa Pasport

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI