PUTRAJAYA: Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957, istiadat menaikkan Jalur Gemilang ketika acara sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun dalam negara dipertanggungjawabkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ia bermula pada Hari Pengisytiharan Kemerdekaan di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957 apabila bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan oleh tiga pegawai TLDM iaitu Chief Petty Officer Seaman Awang Mohd Salleh, Chief Petty Officer Oliver Cuthbert Samuel dan Lt Komander (Bersara) Mohd Sharif Kalam.

Mengupas signifikan penghormatan yang diberikan kepada TLDM itu, Pegawai Staf Istiadat Markas TLDM Komander Jantan Abdul Hamid berkata ia adalah kerana upacara menaikkan bendera TLDM merupakan tradisi dan rutin harian anggota tentera laut yang masih diamalkan sehingga kini.

"Tradisi itu dikenali colours and sunset iaitu bendera TLDM akan dinaikkan setiap hari pada 8 pagi dan diturunkan ketika waktu matahari terbenam di kesemua kapal dan unit TLDM di pangkalan," katanya kepada Bernama ketika tinjauan raptai percubaan hari pertama sempena Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Jantan berkata pada tahun ini, seramai tujuh anggota TLDM diketuai seorang bintara muda dan laskar kanan terlibat dengan upacara menaikkan bendera pada sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Tinjauan Bernama mendapati raptai percubaan hari pertama dimulakan seawal 7.15 pagi dan tamat pada 11 pagi diakhiri dengan persembahan udara dengan Dataran Putrajaya turut dipenuhi oleh orang awam yang tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan kesemua persembahan.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 Mazlan Abd Mutalib ketika merumuskan hasil raptai percubaan itu berkata aspek pematuhan masa dan koordinasi antara pasukan persembahan dan perbarisan akan dititikberatkan.

"Selepas ini kita akan adakan pascanilai dengan kesemua terlibat untuk pematuhan masa yang diperuntukkan, iaitu perlu patuh pada waktu persembahan antara 8 hingga 10.30 pagi Khamis (31 Ogos) nanti. Selasa ini merupakan raptai penuh untuk melihat kembali 'situasi' sebenar 31 Ogos," katanya.

Mengenai faktor 'wow' Hari Kebangsaan 2023, Mazlan yang juga Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berkata lompatan bermotosikal merentasi 66 motosikal model Royal Enfield oleh pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat iaitu 'Army Red Warrior' dan aksi terjun tepat enam anggota pasukan 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) diyakini menjadi tumpuan pengunjung.

Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2023 bertemakan 'Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan' akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos.

Ini merupakan kali kelima sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya. Sebelum ini, Putrajaya menjadi lokasi penganjuran sambutan Hari Kebangsaan pada 2003, 2005, 2018 dan 2019.

Dianggarkan bilangan pengunjung akan menjangkau 100,000 orang dan persiapan bagi menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan 2023 giat diatur pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta dan badan bukan kerajaan.

-- BERNAMA