Sijil Piawaian Keselamatan Pelancongan Johor yang diperkenalkan baru-baru ini adalah antara usaha kerajaan Johor memberi keyakinan kepada pelancong mengenai tahap keselamatan dipraktikkan semua hotel di negeri ini, kata Timbalan Pengarah Tourism Johor Afzan Azhari.

Beliau berkata dengan akreditasi berkenaan kebimbangan mengenai tahap keselamatan akan berkurangan kerana pensijilan berkenaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, usaha berkenaan mendapat kerjasama kerajaan negeri yang komited membantu meningkatkan semula ekonomi pelancongan negeri berikutan banyak hotel memaklumkan mengenai tahap keselamatan mereka masih diragui pelancong.

Sehingga kini, katanya lebih 70 buah hotel di seluruh Johor telah berdaftar untuk memperoleh pensijilan berkenaan yang dijangka memulakan pengauditan pada akhir September ini.

"Kita sudah buat lima sesi, ada taklimat dengan KKM, MKN dan Jabatan Bomba dan Penyelamat. Jadi, bila mereka sudah mendengar taklimat dan mereka sudah buat persediaan, kita (Tourism Johor) bersama-sama Persatuan Hotel Malaysia bahagian Johor dan MyBHA (Persatuan Hotel Bajet Malaysia) akan datang buat pengauditan.

"Ia telah bermula pada bulan Ogos dengan sesi taklimat dan kita akan mulakan pengauditan pada akhir September," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sesi Jaringan MATTA Kedah-Johor di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Kedah Mohd Firdaus Ahmad, Pengerusi MATTA Johor Kenny Ngi Chin Soon dan Pengerusi MATTA Kedah /Perlis Mohd Yusin Mohd Yatim.

Sementara itu, Afzan berkata Tourism Johor menyambut baik usaha kerajaan Kedah menerusi Tourism Kedah untuk membantu mempromosikan produk pelancongan di kedua-dua negeri terutama dengan keadaan sempadan negara masih ditutup untuk pelancong antarabangsa bagi membendung penularan COVID-19.