KUANTAN: Sikap masyarakat yang mengambil mudah dan menganggap pandemik COVID-19 sesuatu yang biasa, telah menyebabkan angka kes jangkitan di Pahang melonjak.

Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, disebabkan itu, suatu pendekatan yang tegas terpaksa diambil supaya keadaan tidak menjadi di luar kawalan.

Jelasnya, disebabkan masyarakat menganggap saolah-olah ancaman wabak COVID-19 bukan sesuatu yang serius sehingga leka untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) maka tindakan kompaun akan diambil kepada individu yang ingkar arahan.

"Tindakan yang agak tegas perlu diambil kerana kita dapati masyarakat kita masih lagi menganggap bahawa pandemik ini satu perkara yang biasa, sebab itu kes meningkat.

"Jadi, usaha lebih tegas perlu diadakan supaya kita dapat kawal pandemik ini supaya kita tidak menjadi lebih teruk. Bila dah teruk baru kita nak ambik tindakan... (namun) dah agak terlewat ketika itu, jadi elok kita bermula dari sekarang," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang Aidilfitri di Perkarangan Majlis Bandaraya Kuantan.

Pihak berkuasa kini memperketatkan operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa kawasan sebagai tindakan pencegahan penularan COVID-19.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak memaklumkan kapasiti katil bagi pesakit COVID-19 negeri Pahang kini telah hampir 50 peratus.