SHAH ALAM: Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.

Itu pandangan Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Selangor, Adzman Kamaruddin terhadap Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut Adzman, Azmin tanpa segan silu mendakwa prestasi negeri Selangor semakin merosot selepas beliau meninggalkan jawatan Menteri Besar negeri itu pada 2018.

Tegasnya lagi, asas sebenar kejayaan Selangor adalah urus tadbir kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baik, amanah dan berintegriti.

“Kesemua nilai tersebut gagal dipertahankan Azmin sebaik sahaja beliau membuat keputusan bersekongkol dengan kelompok ahli politik yang mengkhianati mandat rakyat melalui Langkah Sheraton.

“Fakta utama, sumbangan negeri Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara meningkat setiap tahun dari 23.7 peratus pada 2018 kepada 24.8 peratus pada 2021 adalah bukti nyata Azmin hanya membuat dakwaan yang kabur tanpa fakta,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan.

BACA: "Prestasi negeri Selangor merosot selepas saya tinggalkan jawatan MB" - Azmin 

Pada Ahad, Azmin dilaporkan sebagai berkata, prestasi Selangor semakin merosot selepas beliau melepaskan jawatan Menteri Besar bagi menghadapi Pilihan Raya Umum pada 2018.

"Lepas saya tinggal (jawatan Menteri Besar) nampak merosot prestasi (Selangor), jadi tanggungjawab saya mahu mengekalkan kecemerlangan Selangor

“Ini supaya Selangor akan terus membangunkan memberi manfaat semua rakyat Selangor dan kita dapat menjalin satu kerjasama baik dengan kerajaan negeri dan Persekutuan," kata Azmin.

Mengulas lanjut, Adzman berkata, keadaan sebaliknya yang berlaku kerana prestasi ekonomi Selangor meningkat baik dan program kebajikan kepada rakyat juga bertambah di bawah pentadbiran Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, Selangor makmur bukan hasil kejayaan seorang individu sahaja tapi usaha berpasukan.

“Pasca COVID-19 menyaksikan sendiri bagaimana Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan pasukan pentadbiran berjaya mengurus sumber negeri dengan cemerlang apabila melaksanakan pakej rangsangan bersasar seperti Pakej Kita Selangor 1.0 & 2.0 yang memberi impak besar kepada pemulihan ekonomi negeri dan rakyat.

“Program yang memberi manfaat terus kepada rakyat turut dilaksana secara holistik tanpa mengira fahaman politik seperti Jelajah Ehsan Rakyat (JER) kelolaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang memberi impak cukup besar tatkala kerajaan persekutuan gagal menyelesaikan isu kenaikan harga barang,” katanya lagi.

Melalui JER, jelas Azdman lagi, warga Selangor berpeluang menikmati harga barangan makanan mentah dan asas pada harga cukup rendah berbanding yang ditawarkan di pasaran.

Beliau berkata, lebih baik Azmin menumpukan usaha menyelamatkan karier politiknya yang diibaratkan berada di hujung nyawa.

“Rakyat seluruh negara menyaksikan kegagalan demi kegagalan beliau sepanjang menjawat jawatan menteri persekutuan sehingga tiada apa yang mampu dibanggakan untuk diceritakan pada generasi hadapan melainkan segalanya kabur, tidak jelas dan berpaksikan retorik semata-mata.

“Parlimen Gombak bakal menyaksikan rakyat menghukum ahli politik yang gila kuasa dan tamak haloba pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang bakal menjelang tiba,” katanya lagi.