Sikap 'pencinta anjing' yang sukar memberi kerjasama kepada agensi terlibat menjadi antara faktor peningkatan kes rabies atau penyakit anjing gila di Sarawak meningkat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata faktor tersebut menyebabkan usaha mengawal anjing liar menghadapi kesukaran.

"Kita anggap rabies di Sarawak sesuatu yang serius. Kita juga cuba untuk bagi vaksin.

"Apabila ada mangsa digigit anjing liar, kami bekerjasama dengan Jabatan Veterinar untuk mengawal situasi tersebut.

"Malang sekali, terlalu ramai 'pencinta anjing' di situ. Oleh itu, usaha kita menyekat anjing liar itu menghadapi kekangan," kata Boon Chye selepas menutup Sidang Kemuncak Kanser Sedunia di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.

Selain itu, kemasukan anjing liar dari Kalimantan yang tidak terkawal turut menyumbang kepada peningkatan kes penyakit tersebut.

Justeru, beliau menasihati masyarakat di Sarawak supaya memberi kerjasama kepada agensi berkaitan dalam menangani rabies

"Mereka juga perlu mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya digigit anjing," tambahnya.

Sebelum ini, ia dilaporkan sebanyak 41 kawasan di Sarawak telah diisytiharkan terjejas wabak rabies. Sehingga 21 Ogos lalu, 13 kes jangkitan rabies direkodkan dalam kalangan manusia. Daripada angka ini, 12 telah meninggal dunia.