KUALA LUMPUR: Sikap pengendali ekonomi gig seperti penyedia platform e-hailing dan p-hailing yang enggan bekerjasama, menyukarkan usaha kerajaan menambah baik sistem perlindungan keselamatan sosial penggiat industri itu.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata beliau sendiri telah beberapa kali cuba mengatur pertemuan bersama pihak pengurusan syarikat penyedia perkhidmatan bagi membincangkan isu berkenaan, namun tidak berhasil.

"Kerjasama tersebut diperlukan untuk PERKESO mewujudkan satu sistem penolakan caruman bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SPS) berdasarkan jumlah jam bekerja, bukannya secara lump sum (sekali gus).

"Kalau dilihat dari segi pelaksanaan caruman, saya rasa ia dapat dilaksanakan dengan lebih efisien berdasarkan sumbangan jam pekerjaan, dari situ baru kita dapat lihat jumlah caruman yang sepatutnya dibayar.

"Sekarang ini kita terpaksa kategorikan penggiat ekonomi gig di bawah kategori 1, 2 dan 3 (SPS) kerana tidak mendapat kerjasama pemilik platform ... Realitinya, sama ada kebajikan penggiat gig ini dijaga atau tidak, ia bukan urusan mereka (pengendali)," katanya pada Forum Nasional: Kerangka Kerjaya Industri Gig, di sini semalam.

Katanya ketika ini berdasarkan statistik, dianggarkan terdapat seramai 600,000 juta penggiat e-hailing dan p-hailing di seluruh negara, namun hanya kira-kira 230,000 orang sahaja yang telah mencarum.

Sementara itu, Felo Penyelidik Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Shamzaeffa Samsudin berkata kajian mendapati 60 peratus daripada penggiat ekonomi gig mempunyai tahap daya tahan kewangan yang rendah.

Beliau berkata situasi itu disebabkan masih ramai yang tidak mencarum dalam apa-apa skim keselamatan sosial dan keadaan itu mendedahkan mereka kepada risiko masalah kewangan jika berlaku sebarang kejutan dalam kehidupan seperti masalah kesihatan atau kemalangan.

"Apabila ditanya tentang kesanggupan (untuk mencarum), majoriti menyatakan kesanggupan untuk membayar. Tetapi dapatan mendapati tahap kesanggupan itu tidak tinggi dan mereka hanya sanggup membayar hanya sehingga RM50 sebulan," katanya.

Forum yang berlangsung selama hampir tiga jam itu juga membincangkan mengenai hala tuju bagi menambah baik kebajikan penggiat eknomi gig.

Turut menyuarakan pendapat Ketua Aktivis P-Hailing Malaysia Zulhelmi Mansor yang mencadangkan agar kerajaan memberi jaminan bahawa subsidi caruman SPS yang diberikan PERKESO akan diteruskan untuk sekurang-kurangnya lima tahun akan datang.

Beliau mencadangkan agar syarikat penyedia perkhidmatan mewajibkan penggiat untuk mempunyai skim caruman yang aktif sebelum dibenarkan berkhidmat.

"PERKESO dah berikan perlindungan, tetapi caruman masih rendah. Oleh demikian, peranan perlu diperluaskan kepada pihak syarikat supaya mereka mengambil tanggungjawab sekiranya mana-mana penggiat tidak mencarum, nyahaktifkan dahulu sebelum membenarkan mereka bekerja," katanya.

Ketua Aktivis Gabungan e-Hailing Malaysia Jose Rizal pula berkata penggiat perlu diberi kebenaran untuk berkesatuan dan berharap sebarang inisiatif melibatkan golongan itu tidak hanya tertumpu kepada perkhidmatan p-hailing dan e-hailing sahaja, tetapi merangkumi semua yang terlibat dalam sektor perkhidmatan tidak formal.

-- BERNAMA