MALAYSIA
Silibus Palapes akan ditambah baik, fokus pemahaman holistik

Langkah itu adalah penambahbaikan untuk memastikan mahasiswa terlibat lebih bersedia melangkaui latihan teknikal khusus. - Bernama
SERDANG: Silibus Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) bakal diteliti semula dalam usaha memperkasa program latihan itu sebagai platform melahirkan pemimpin masa hadapan yang bersifat holistik dan berpandangan jauh, sejajar dengan keperluan semasa negara dan dunia.
Menurut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, penambahbaikan silibus bukan bertujuan mengubah secara menyeluruh struktur sedia ada, tetapi lebih kepada menyesuaikan isi kandungan agar relevan dengan cabaran global dan nasional hari ini.
Antara elemen baharu yang akan diberi penekanan termasuklah konsep kerjasama antara ketiga-tiga cabang perkhidmatan (darat, laut dan udara), pemahaman tentang geopolitik, serta diplomasi pertahanan.
Elemen-elemen ini dilihat penting dalam membentuk anggota Palapes yang bukan sahaja mampu berkhidmat, tetapi juga boleh menjadi ejen perubahan di pelbagai sektor masyarakat.“Kita tidak bercadang untuk menggubal semula silibus secara total, tetapi kita mahu melihat bagaimana kita boleh menarik lebih ramai penyertaan serta melahirkan graduan yang faham apa yang sedang berlaku dalam konteks yang lebih luas, bukan hanya dari aspek ketenteraan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Istiadat Pentauliahan Diraja yang berlangsung pada Sabtu.
Perkembangan ini juga seiring dengan hasrat untuk menjadikan Palapes sebagai platform penyatuan yang menyatukan pelajar dari pelbagai latar belakang bagi membina kepimpinan berteraskan nilai bersama dan semangat kenegaraan.
Setakat ini, purata penyertaan ke dalam angkatan tentera daripada kalangan graduan Palapes hanyalah sekitar tujuh hingga lapan peratus, selebihnya akan kembali berkhidmat dalam mana-mana sektor awam dan swasta yang lain.
“Inilah yang dimaksudkan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj apabila baginda menyebut tentang Whole-of-Government Operators (WoGos). Pelatih-pelatih ini adalah pemangkin perubahan. Kita mahu mereka bawa nilai dan semangat Palapes ke mana saja mereka pergi,” tambah Mohd Nizam.
Dalam istiadat tersebut, seramai 1,927 orang Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dari 20 universiti awam seluruh negara telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda ke dalam Pasukan Simpanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Mereka terdiri daripada 1,098 Pegawai Muda dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW), 431 Pegawai Muda di dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan 398 Pegawai Muda di dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami