MALAYSIA
PM Anwar hadiri sidang kemuncak tergempar Arab-Islam Isnin ini

Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha pada 15 September 2025 bagi membincangkan serangan Israel ke atas Qatar. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar pada Isnin ini bagi membincangkan serangan Israel terhadap negara itu.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha pada 15 September 2025 bagi membincangkan serangan Israel ke atas Qatar.
- Kehadiran beliau bersama Menteri Luar menunjukkan sokongan Malaysia terhadap Qatar dan perjuangan rakyat Palestin serta kecaman terhadap keganasan Israel.
- Sidang kemuncak dijangka meluluskan resolusi bersama negara anggota OIC untuk menangani isu serangan Israel dan mempertahankan undang-undang antarabangsa.
Menurut kenyataan itu, penyertaan Perdana Menteri menunjukkan sokongan penuh dan solidariti terhadap Qatar serta kesinambungan usaha Malaysia dalam mempertahankan hak rakyat Palestin dan mengecam kekejaman serta keganasan Israel.
Anwar dijadual menyampaikan Kenyataan Negara pada sidang kemuncak itu bagi menegaskan pendirian Malaysia bahawa keamanan serantau dan dunia akan terus terancam sekiranya Israel dibiarkan mencabuli undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kedaulatan negara.
"Sidang kemuncak ini dijangka meluluskan satu resolusi yang menggariskan tindakan dan pendirian bersama negara-negara anggota dalam menangani isu ini," menurut kenyataan itu.
Pada Selasa lepas, Israel menyerang sebuah kawasan kediaman di Doha yang menempatkan pemimpin Hamas.
Serangan itu meragut nyawa lima anggota Hamas dan seorang pegawai keselamatan Qatar ketika mereka sedang membincangkan cadangan baharu daripada Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan peperangan di Gaza.
Qatar bersama AS dan Mesir sebelum ini menjadi pengantara dalam rundingan bagi menamatkan peperangan itu.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami